Buruh binaan didakwa rogol, lakukan amang seksual kekasih 12 tahun

0
216

SEORANG buruh binaan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Khamis atas dua pertuduhan merogol dan melakukan perbuatan amang seksual terhadap kekasihnya yang berusia 12 tahun di sebuah rumah di Machang dekat sini baru-baru ini.

Tertuduh, Hasrul Hassan, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang juga kanak-kanak berusia 12 tahun empat bulan sewaktu kejadian.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di sebuah rumah di Machang dekat sini kira-kira pukul 4 pagi pada 17 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Hasrul didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak itu di lokasi sama kira-kira pukul 2 pagi pada 19 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Abu Arsalnaa tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan memohon tarikh untuk serahan dokumen.

Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 3 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, seorang buruh ditahan selepas dipercayai merogol kekasihnya yang merupakan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun di sebuah rumah baru-baru ini.

Suspek dicekup kira-kira pukul 7 malam pada 21 November lalu selepas mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di sini pada pukul 6.40 pagi hari yang sama.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Mohd. Zahir Abdullah berkata, berdasarkan keterangan mangsa, suspek yang merupakan teman lelakinya mengambil kanak-kanak itu di rumah kira-kira pukul 12.30 malam.

“Siasatan mendapati, suspek mempunyai satu rekod lampau berkait kes persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii pada 2012 dan telah dihukum mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Kosmo!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here