Zahid perlu jadi TPM untuk stabilkan kerajaan Anwar, kata penganalisis

0
223

PRESIDEN UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu dilantik menjadi timbalan perdana menteri dalam Kabinet Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun berdepan kes mahkamah pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, langkah itu boleh memuaskan hati pimpinan tertinggi Umno dan menstabilkan kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) itu.

“Jika Zahid dilantik sebagai timbalan perdana menteri, tidak akan ada lagi rasa tidak puas hati dalam kalangan Majlis Kerja Tertinggi Umno kerana presiden sudah di kedudukan nombor dua dalam kerajaan,” katanya lapor MalaysiaNow.

Jika Zahid menjadi timbalan Anwar, ini merupakan kali kedua beliau menjawat jawatan itu. 

Sebelum ini, Zahid merupakan timbalan perdana menteri kepada Datuk Seri Najib Razak selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat ekoran bersuara dalam isu 1MDB. 

Muhyiddin kemudiannya menubuhkan Bersatu bersama bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Umno dilihat mendesak agar presidennya dilantik sebagai timbalan perdana menteri atas dasar hierarki parti dan kerjasama politik. 

Ia meskipun Zahid masih berdepan 47 pertuduhan berhubung penyalahgunaan wang Yayasan Akalbudi miliknya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pelantikan ke Kabinet perlu mengikut hierarki jawatan dalam parti.

Manakala, Timbalan Pengerusi Umno Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, PH perlu membalas budi Zahid. 

Azizi yang juga bekas setiausaha eksekutif BN Pulau Pinang itu berkata, Anwar tidak wajar melantik orang lain seperti Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang turut disebut-sebut bakal menggalas tanggungjawab tersebut.

“Timbalan presiden Umno tiada pengalaman dalam Kabinet persekutuan, maka tidak wajar dilantik ke jawatan timbalan perdana menteri,” katanya. 

Beliau menambah, ia berbeza dengan Zahid yang mempunyai pengalaman sebagai timbalan perdana menteri. 

Sementara itu, penganalisis politik, Jeniri Amir daripada Universiti Malaysia Sarawak berkata, sememangnya terdapat keperluan melantik Zahid sebagai orang nombor dua kerajaan kerana tanpa sokongan ahli parlimen Bagan Datuk itu, Anwar tidak akan menjadi perdana menteri ke-10.

“Beliau adalah persiden parti. Sewajarnya tempatnya dalam Kabinet sebagai TPM,” katanya kepada MalaysiaNow.

Namun katanya, Zahid perlu berbesar hati jika tidak dilantik sebagai timbalan perdana menteri. 

“Rakyat tidak peduli menteri daripada parti mana, yang penting dia mesti berkebolehan. Tangan Anwar Ibrahim tidak harus diikat oleh tindakan parti yang mahu pemimpin mereka disertakan dalam Kabinet.

“Selagi parti dalam kerajaan menuntut macam-macam, selagi itu kita akan ada dalam lingkungan yang sama, padahal kita mahukan kabinet berkelas dunia,” katanya. 

Selain Zahid, Anwar dijangka menamakan seorang lagi timbalannya daripada Gabungan Parti Sarawak sebagai mewakili wilayah Borneo. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here