Pasca PRU-15: PN Pahang jadi blok pembangkang terbesar dalam sejarah – Tuan Ibrahim

0
197

DEWAN Undangan Negeri Pahang akan mempunyai bilangan pembangkang yang paling ramai dalam sejarah setelah Barisan Nasional (BN) menerima tawaran Pakatan Harapan (PH) dan tidak dari Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan.

Menurut Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dengan 17 kerusi DUN yang dimenangi, PN Pahang akan menjadi blok pembangkang yang sangat kuat sekali gus membina ke arah Pahang yang lebih gemilang.

Tuan Ibrahim juga menyifatkan keputusan PRU-15 merupakan satu gelombang perubahan daripada pengundi muda yang mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan bersih.

“Kenapa mereka beri undi kepada Perikatan Nasional, saya ingat mereka dah nilai pencapaian kita dalam waktu kita menjadi kerajaan peringkat Persekutuan.

“Mereka menilai prestasi kita, sebab itu mereka yakin apa yang kita capai dan mereka beri undi. Sebab itu gelombang perubahan itu berlaku pada anak muda.

“Mereka hendak kerajaan yang stabil yang bersih, kehendak rakyat sebenarnya, dan mereka yakin kerajaan yang ada ini tidak ke situ,” kata Tuan Ibrahim selepas Ceramah Perdana di bandar Baru Rompin, malam tadi.

Pada PRU-15 lalu, buat kali pertama, gabungan parti politik di Pahang gagal menubuhkan kerajaan selepas tiada parti memperoleh majoriti.

Ia menyaksikan Perikatan Nasional menang 17 kerusi, Barisan Nasional 16 kerusi, dan Pakatan Harapan (PH) mendapat lapan kerusi, tidak termasuk kerusi DUN Tioman yang akan diketahui pada 7 Disember ini lapor Astro AWANI.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here