Syifa Melvin, Safawi Rasid sah bergelar suami isteri

0
286

PELAKON dan pempengaruh media sosial Syifa Melvin selamat bergelar isteri kepada pemain bola sepak pasukan Johor Darul Takzim (JDT) Safawi Rasid dengan sekali lafaz pada malam Isnin.

Syifa atau Nur Syifa Athirah Amirul Melvin, 28, dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan Khairil Nizam yang berwakil walikan bapanya iaitu Amirul Melvin Abdullah.

Majlis pernikahan pasangan itu diadakan secara tertutup di Hotel Hilton, Petaling Jaya yang dihadiri ahli keluarga dan kenalan terdekat pengantin.

Pada majlis berkenaan, Safawi atau Muhammad Safawi Rasid, 25, menyerahkan mas kahwin berupa sebentuk cincin kepada Syifa.

Terdahulu, berita pernikahan pasangan tersebut kecoh di media sosial apabila kad undangan perkahwinan mereka tersebar namun Syifa atau Safawi masing-masing enggan mengesahkan perkara tersebut.

Safawi bagaimanapun memberitahu dia tidak berniat menyembunyikan perkahwinan tersebut sebaliknya lebih selesa ia tidak dihebohkan kepada orang ramai.

“Bukan saya tidak mahu beritahu media atau sombong, cuma kalau boleh saya punya perkahwinan nak ia berjalan dengan tenang dan tidak mahu kecoh-kecoh.

“Tarikh ini saya pilih sebab ada sesuatu yang istimewa,” katanya memetik laporan mStar.

Terdahulu, pasangan ini diraikan dalam majlis berinai yang diadakan pada malam Ahad.

Sementara itu, majlis bertandang di pihak lelaki akan diadakan pada 3 Disember ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here