Keputusan PN jadi pembangkang demi kestabilan politik – Mahathir

0
197

PERIKATAN Nasional (PN) memilih untuk menjadi pembangkang bagi memastikan kestabilan politik negara dapat dikekalkan.

Ketua Penerangan PN Wilayah Persekutuan, Mahathir Md Rais berkata, walaupun PN kalah Pilihan Raya Umum ke-15, gabungan itu tetap komited untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Kami memilih untuk menjadi pembangkang kepada kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan kestabilan politik dapat dikekalkan, kerana pembangkang adalah faktor penting dalam memastikan suara rakyat didengari dengan lebih lantang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Mahathir, menjadi sebuah parti pembangkang penting dalam membawa suara kesakitan dan penderitaan rakyat.

“Inilah yang mereka maksudkan dengan kestabilan politik dan keperluan untuk menjadi pembangkang untuk PN adalah satu kemestian,” katanya.

Tambahnya, suara penyokong PN juga tidak akan diketepikan hanya kerana PN tidak mentadbir negara.

“Kita masih ada di sini untuk terus berjuang dan memastikan Malaysia terus aman dan makmur dalam setiap aspek demi generasi akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Mahathir turut mengakui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah seorang yang disegani bukan sahaja dalam negara bahkan dunia.

“Tiada manusia yang sempurna, tetapi beliau memang terbukti dihormati oleh kawan dan lawan.

“Pengiktirafan yang beliau peroleh daripada para pemimpin dunia terutama dari negara-negara seperti Palestin dan Jepun membuktikan kredibiliti beliau,” katanya, lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here