NGO lapor polis dakwa tulisan Zahid kaitkan campur tangan Agong bentuk kerajaan

0
206

TIGA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis berhubung kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong campur tangan dalam pembentukan kerajaan. 

Pertubuhan Prihatin Alam Sekitar dan Masyarakat (PRIALAM), Muhibbah Akrab Malaysia (MAM) serta Pertubuhan Perpaduan Kemanusiaan Malaysia (PPKM) bersama dua wakil membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam.

Muhammad Firdaus Abu Mangsor yang mewakili PRIALAM dan MAM berkata, laporan polis itu dibuat berkait kenyataan Ahmad Zahid di Facebooknya, bertajuk ‘Barisan Nasional (BN) mendukung Perlembagaan Negara dan Menjunjung Titah Yang di-Pertuan Agong’ kelmarin.

“Dalam entri itu, ada kenyataan Ahmad Zahid yang boleh membawa maksud Yang di-Pertuan Agong seolah-olah campur tangan dalam memastikan Perikatan Nasional (PN) tidak disokong atau dikecualikan daripada menerajui kerajaan. 

“Kenyataan beliau juga seperti menggambarkan bahawa pembentukan kerajaan adalah bukan atas dasar majoriti kepercayaan ahli Dewan Rakyat, tetapi atas dasar titah daripada Yang di-Pertuan Agong,” katanya. 

Turut hadir, wakil PKPM, Mohammad Shamsul Hakim Ab Aziz.

Beliau berkata, tindakan Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan sedemikian dilihat sebagai mencabul peruntukan Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan. 

“Kenyataan Ahmad Zahid itu umpama menghina dan mempalitkan Yang di-Pertuan Agong dalam proses politik dan ini boleh membawa keresahan rakyat serta institusi raja berperlembagaan di Malaysia. 

“Berdasarkan apa yang dinyatakan Ahmad Zahid itu, maka perkara ini perlu disiasat termasuk kemungkinan pemimpin BN terbabit dalam konspirasi mencabul peruntukan Perlembagaan Malaysia,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Semalam, Ahmad Zahid dalam satu kenyataan dimuat naik di Facebook, menyebut BN pada awalnya membuat keputusan untuk menjadi pembangkang, namun menukar keputusan itu. 

“BN mula-mula membuat keputusan untuk menjadi pembangkang, kemudian berkecuali dan akhirnya menyerahkan 30 kerusi untuk pertimbangan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya. 

“Begitu juga GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan GRS (Gabungan Rakyat Sabah). 

“Hal ini berlaku selepas Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 Ahli Parlimen BN supaya menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan yang bukan diterajui oleh PN bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk. 

“Maka BN menjunjung titah tersebut dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan individu dan parti,” katanya seperti dipaparkan dalam Facebooknya itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here