Kes mahkamah ahli politik mesti diteruskan tanpa campur tangan – C4

0
194

PROSIDING kes jenayah yang sedang berjalan membabitkan ahli politik didakwa atas tuduhan salah guna kuasa mesti diteruskan tanpa penangguhan atau campur tangan.

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata, ia penting dalam usaha membina keyakinan orang ramai kerana akan menunjukkan tiada ruang untuk rasuah dalam pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Adalah amat penting (kes mahkamah) ini dibenarkan untuk diteruskan tanpa berlengah atau campur tangan, tanpa mengira asal parti politik mereka atau sebarang sokongan parlimen yang mereka berikan, terutama dengan keputusan Anwar untuk mengadakan undi percaya bagi kerajaan baharu pada 19 Disember ini.

“C4 akan terus memupuk dasar kerajaan terbuka di pelbagai peringkat pentadbiran melalui pembaharuan sektor awam dan meningkatkan penyertaan orang ramai dalam perbincangan antirasuah,” katanya dalam kenyataan memetik laporan BH Online.

Antara Ahli Parlimen yang sedang berdepan kes di mahkamah ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

C4 berkata, bulan yang mendatang akan menjadi ujian kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar dalam menilai komitmen mereka terhadap tadbir urus yang baik dan agenda pembaharuan.

Badan bukan kerajaan (NGO) itu juga mengulangi kesediaannya untuk bekerjasama dengan kerajaan dan memberikan kepakaran atau bantuan dalam memastikan pembaharuan itu dapat dilaksanakan.

Katanya, terdapat keperluan mendesak untuk Akta Perolehan menyediakan lebih banyak pengawasan terhadap proses perolehan awam dan perbelanjaan kerajaan.

Pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan Akta Kebebasan Maklumat juga diperlukan, manakala Akta Rahsia Rasmi dan Akta Pengisytiharan Aset harus dimansuhkan.

“Pentadbiran sebelum ini juga memberi jaminan bahawa rang undang-undang (RUU) pembiayaan politik akan dibentangkan tidak lama lagi.

“Tidak ada sebab untuk pentadbiran baharu melengahkan perkara ini lagi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here