‘Sentiasa buat baik dan buatlah yang terbaik’, pesan Radzi buat warga pendidikan

0
167

“HIDUP ini mudah, sentiasa buat baik dan buatlah yang terbaik”.

Itu pesan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin buat warga pendidikan selepas Perikatan Nasional (PN) gagal membentuk kerajaan persekutuan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) baru-baru ini.

Dalam hantaran di Facebook beliau, Radzi yang merujuk diri beliau sebagai pak cik memulakan catatan itu dengan memaklumkan kepada warga pendidikan bahawa mereka tidak mungkin berjumpa sekerap dahulu.

Kata Ahli Parlimen Putrajaya itu, beliau percaya telah melakukan yang terbaik sepanjang dua tahun setengah di Kementerian Pendidikan (KPM).

“Kepada anak-anak pak cik di IPG, Kolej Matrikulasi, Kolej Vokasional dan semua sekolah di seluruh Malaysia, kita mungkin tak jumpa lagi sekerap dahulu.

“Percayalah, pak cik telah buat yang terbaik sepanjang dua tahun setengah di Kementerian Pendidikan. Pak cik curahkan segala keringat dengan penuh kejujuran dan keikhlasan bagi membina masa depan yang lebih gemilang untuk kalian,” katanya menerusi hantaran itu, hari ini.

Radzi meneruskan catatannya dengan meminta warga pendidikan mengingati pesan beliau agar sentiasa berbuat baik dan buat lah yang terbaik.

Menambah pesanan itu Radzi berkata, perkara paling penting ialah tiada apa yang dapat mengalahkan kerja keras.

“Selalulah ingat pesan pak cik, “hidup ini mudah, sentiasa buat baik dan buatlah yang terbaik.

“Paling penting, Nothing Beats Hard Work! Pak cik sayang korang semua!,” tambahnya mengakhiri catatan Facebook berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here