PRU-15: Pilih parti terbaik bentuk kerajaan – Muhyiddin

0
175

TAN Sri Muhyiddin Yassin meminta pengundi memilih dengan betul bagi menentukan pembentukan kerajaan Persekutuan yang terbaik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu meminta semua pengundi memilih parti yang membuktikan wadah perjuangan yang mendengar denyut nadi rakyat, selain menjulang aspirasi dan cita-cita rakyat dalam tempoh singkat.

Bekas Perdana Menteri itu antara lain mengajak pengundi menolak parti yang tidak mementingkan integriti, membudayakan rasuah dan tidak mampu menunaikan janji.

“Dalam sesi bersama rakyat, ada yang bertanya kepada saya. Mengapa kita perlu memilih PN? Saya sering menjawab pilihlah PN kerana ia parti yang mengarusperdanakan agenda prihatin dalam kerajaan, mengutamakan rakyat dan tidak putus-putus membantu rakyat.

“Daripada memberi bantuan tunai ke bakul makanan, subsidi upah ke moratorium, memastikan vaksinasi diberi kepada semua secepat mungkin, telah Kerajaan PN lakukan dan buktikan ketika mentadbir di era pandemik (COVID-19).

“Kerajaan PN ikhlas membantu mengemudi negara dan membantu semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya menerusi Amanat Abah sempena PRU15, malam ini.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, mengajak pengundi memilih PN bagi membentuk kerajaan bersih, dipimpin individu berintegriti dan berlaku adil kepada semua.

Selain itu, katanya, kerajaan stabil dapat dijana melalui keharmonian politik parti yang mentadbir, selain memaklumkan PN sentiasa menghormati semua pihak, setiakawan dan bekerjasama ke arah kebaikan negara.

“Kestabilan dijamin melalui politik harmonis inilah yang akan menjamin kestabilan Kerajaan PN, membolehkan kita mentadbir dengan efektif dan inklusif apabila mendapat mandat daripada rakyat, insya-Allah.

“Kestabilan inilah yang akan menjana pertumbuhan ekonomi dengan meningkatkan keyakinan pelabur di dalam dan luar negara untuk terus melabur dan merancakkan ekonomi negara,” katanya seperti dilaporkan BH Online

Calon PN Parlimen Pagoh itu berkata, COVID-19 juga membuktikan kemampuan semua pihak bersatu padu menghadapi ancaman kepada negara, selain menegaskan kesan pandemik berbeza kepada setiap rakyat.

Beliau juga menginsafi hakikat lebih 36,000 terkorban akibat pandemik dan jutaan lagi yang dijangkiti, selain mendoakan kesejahteraan semua pihak yang pernah dijangkiti COVID-19, termasuk saya serta keluarga.

Katanya, berkat usaha semua pihak, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) bagi pekerja swasta berjaya dilaksanakan.

“Berkat usaha kerajaan dipimpin saya ketika itu, kita bersama-sama keluar daripada pandemik ini melalui Pelan Pemulihan Negara yang membawa semua negeri bergerak keluar dengan selamat dan teratur melalui empat fasa mengikut tiga nilai ambang iaitu bilangan kes, kapasiti hospital dan kadar vaksinasi.

“Kejayaan kita membekalkan vaksinasi dengan kadar segera, telah menyelamatkan jutaan nyawa rakyat. Terima kasih tidak terhingga saya kepada barisan hadapan kesihatan dan keselamatan yang membantu memastikan keselamatan rakyat Malaysia,” katanya.

Mengimbau ketika menggalas jawatan Perdana Menteri, beliau berkata, banyak keputusan sukar diambil, selain mengakui beliau dihina, dikeji dan dicaci berikutan tindakan berkenaan.

“Tidak mengapa. Setiap keputusan saya ambil dikaji dengan teliti, mengambil kira pandangan pakar, baik kesihatan mahupun ekonomi, serta bersama sama pemimpin negeri dan rentas parti. Semua dibuat berdasarkan data dan sains, dan keputusan bersama, demi kebaikan negara dan rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here