Dokumen Perjanjian Perikatan Harapan palsu – Muhyiddin

0
78

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Dokumen Perjanjian Perikatan Harapan yang kini tular adalah palsu.

Perkara itu dinyatakan Muhyiddin dalam muat naik terkini dalam akaun Facebook beliau, malam ini.

“Dokumen Perjanjian Perikatan Harapan yang tular ini adalah palsu,” tulis beliau ringkas.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam laporan Malaysiakini turut menafikan dakwaan beliu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Muhyiddin untuk membentuk kerajaan campuran yang digelar sebagai “Perikatan Harapan” selepas PRU-15.

Bercakap kepada pemberita petang tadi, Anwar menegaskan ia merupakan pembohongan yang ditimbulkan pihak tertentu yang tahu mereka akan kalah jika berlaku persaingan secara sihat pada pilihan raya esok.

“Mula-mula kata (Ahmad) Zahid dan saya. Semuanya bohong,” katanya selepas bertemu orang ramai pada perlawanan bola sepak persahabatan petang tadi di Padang Meru Permai, Tambun di Perak.

“Penipuan yang dibawa mereka yang rasa akan kalah kalau persaingan itu bersih. Maka mereka gunakan (penipuan). Dalam beberapa jam ini, banyak akan digunakan, banyak fitnah lagi, muflis akhlaknya dan terdesak.

“Bagi saya teliti (dahulu) dan jangan percaya dan rujuk kepada sumber yang sahih, macam belajar hadith,” katanya lapor Warta Rakyat.

Presiden PKR itu mengulas MoU yang didakwa ditandatangani bersama Muhyiddin bertarikh 13 Nov untuk membentuk “Perikatan Harapan”, yang tular di media sosial.

Menurut MOU itu, Muhyiddin dikatakan akan menjadi perdana menteri untuk tempoh dua tahun dari tarikh angkat sumpah sebelum Anwar mengambil alih dan berkhidmat sehingga akhir penggal.

Sebelum ini, bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad yang mempertahankan kerusi Langkawi mendakwa Zahid yang juga pengerusi BN mempunyai rancangan untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri selepas PRU-15.

Sebagai balasan, Mahathir mendakwa Anwar akan membebaskan Zahid daripada kes rasuah di mahkamah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here