Suami, isteri agih 2,000 kek pisang percuma meriahkan PRU15

0
303

SEPASANG suami isteri yang mengusahakan kedai kek mencipta kelainan bagi memeriahkan suasana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila mengagihkan 2,000 kek pisang yang dibungkus dalam plastik berserta pelekat ‘Undilah’ yang seakan-akan kertas mengundi.

Aiman Ahmad Farid, 33, berkata agihan itu dilakukan sejak semalam dan diteruskan hari ini setelah mendapat sambutan menggalakkan.

“Kami mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengagihkan kek pisang kepada pemandu kenderaan yang lalu-lalang di hadapan kedai kami.

“Ada juga yang keliru sebab mereka ingatkan agihan ini daripada mana-mana calon parti tetapi kami sebenarnya sekadar memeriahkan suasana pilihan raya, ini merupakan inisiatif tersendiri daripada kedai Mr Mamahub,” katanya ketika ditemui pemberita di Jalan Pintu Geng, Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Aiman berkata untuk menyiapkan kek tersebut, mereka menggunakan 25 kilogram (kg) pisang jenis cavendish, 10kg tepung dan 10kg gula perang.

“Saya dibantu isteri Nur Izzati Mohamad, 29, dan empat pekerja menyiapkan kek pisang tersebut dalam tempoh dua hari. Kos keseluruhan kek pisang yang dihasilkan ialah RM2,000,” katanya.

Menurut Aiman sejak mengusahakan kedai kek itu lebih dua tahun lepas, mereka sering mencipta kelainan dalam pembuatan kek mengikut tema sambutan seperti Hari Kebangsaan.

“Agihan percuma kali ini juga bertujuan untuk mengingatkan orang ramai hari mengundi sudah hampir tiba pada 19 Nov nanti,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here