Semua calon PN layak jadi MB Perak

0
233

PERIKATAN Nasional (PN) Perak hanya akan mengumumkan calon Menteri Besar selepas parti gabungan itu menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan itu adalah pendirian PN negeri berhubung nama calon menteri besar sekiranya PN berjaya menerajui negeri.

“Calon kita adalah dari kalangan semua calon yang bertanding di 59 kerusi. Semua berkebolehan dan berkelayakan. Kita akan membawa beberapa nama untuk diperkenan Sultan Perak jika kita berjaya menubuhkan kerajaan negeri,” katanya dalam program tinjauan mesra di Tambun hari ini, lapor Berita BERSATU

Timbalan Presiden BERSATU itu berkata, terpulang kepada PN negeri lain sama ada mahu mengumumkan calon menteri besar lebih awal.

“Ini adalah keutamaan kepada Sultan Perak untuk menentukan, kita tidak mahu terjadi perkara penderhakaan kepada sultan dalam kita hendak menunjukkan calon menteri besar kita.

“Namun, terpulanglah kepada negeri lain yang mahu mendahului sultan masing-masing, tetapi kami akan persembahkan beberapa nama sesuai untuk dipertimbangkan,” katanya.

Penyandang kerusi Parlimen Tambun itu berkata, antara nama yang berkemungkinan dipersembahkan sebagai calon menteri besar jika PN berjaya membentuk kerajaan negeri adalah pemimpin berpengalaman menjadi EXCO seperti Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Razman Zakaria.

Ahmad Faizal berkata, PN Perak akan melancarkan manifesto PRU15 dalam masa terdekat dan ia tambahan kepada manifesto dilancarkan PN pusat sebelum ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here