‘Hamzah okay, buat kerja, kami puas hati’ – Pengundi Larut

0
243

WALAUPUN berkhidmat selama tiga penggal sebagai wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Parlimen Larut kemudian melompat ke Bersatu selepas gabungan itu jatuh di peringkat pusat, ia tidak sesekali “mencacatkan” bakti Hamzah Zainudin terhadap penduduk tempatan.

Tinjauan FMT di sekitar Parlimen Larut mendapati, bekas menteri itu berjaya menyantuni segenap lapisan masyarakat dan sering turun pandang mendengar keluh-kesah penduduk.

Pengundi kali pertama, Fazri Zidan, 24, berkata beliau berpuas hati dengan prestasi kerja Hamzah dan tidak melihat isu lompat parti yang membelenggu pemimpin itu sebagai “isu besar”.

“Kami pilih pemimpin yang ada tanggungjawab dan berwibawa, kita tak tengok parti tetapi tengok individu. Setakat ini Hamzah okay, buat kerja dan kami puas hati dengan prestasi beliau di Larut setakat ini,” katanya kepada FMT.

“Walaupun pemimpin itu lompat parti, jangan tengok dia melompat kita tak nak undi dia, mungkin dia lompat kerana kebaikan rakyat, jadi kita tengok di situ.”

Namun, anak jati Selama itu mahu pekan berkenaan yang berada di sempadan Kedah dimajukan lebih pesat setanding daerah-daerah lain di Perak.

“Pekan Selama ini terpencil, duduk di hujung Perak, banyak orang tak tahu sebenarnya tempat ini. Jadi naikkan lah Selama ini di mata luar,” katanya yang mengakui pembangunan di Larut tidak begitu pesat namun terdapat banyak pembaharuan sejak lima tahun kebelakangan ini.

“Ada kedai-kedai baru buka dah cukup bagi kami, sekurang-kurangnya anak muda ada peluang pekerjaan dan tak perlu keluar daerah untuk bekerja.”

Pada PRU14 lalu, Hamzah menang kerusi Larut atas tiket BN selepas mengalahkan calon PAS Abu Husin Mohamad dan calon PKR Khairil Anuar dengan majoriti 4,486 undi.

Kemudian, bekas menteri dalam negeri itu keluar Umno dan menyertai Bersatu pada 2019.

Sementara itu, dua lagi pengundi Larut yang hanya mahu dikenali Pak Abu dan Makcik Hasnah turut mengakui Hamzah sebagai pemimpin “mesra” dan mudah membantu orang kampung.

“Kami mahu dia terus jadi wakil rakyat kami.”

Mereka yang menjadi mangsa banjir kilat baru-baru ini berkata Hamzah antara pemimpin terawal yang datang melawat dan memberi sumbangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here