Muhyiddin paling dipercayai berbanding Anwar, Ismail, menurut tinjauan

0
310

CALON perdana menteri Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berada di kedudukan teratas sebagai tokoh yang paling dipercayai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), berbanding calon lain termasuk Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menurut tinjauan sentimen masyarakat oleh Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tinjauan Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CetMA) UUM itu dijalankan bermula 6 September hingga 5 November terhadap 2,716 responden itu mendapati Muhyiddin mendapat 20%, diikuti Anwar (19.2%) sebagai tokoh yang paling dipercayai.

Sementara Ismail, yang merupakan calon perdana menteri Barisan Nasional (BN) hanya menerima 9.5% kurang dari Pengerusi Gerakan Tanah Air Dr Tun Mahathir Mohamad (10.2%) dan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang (10.3%).

Berhubung faktor yang menjadi pilihan pengundi ketika membuang undi, sebanyak 36.9% responden berkata parti politik menjadi faktor utama sementara faktor manifesto dan isu di kedudukan kedua (34.3%) dan faktor calon di tempat ketiga sebanyak 28.8%.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai parti paling sesuai memerintah Malaysia ketika ini, UMNO berada di kedudukan tertinggi mendapat penerimaan sebanyak 32.7%, sementara PKR di tangga kedua sebanyak 26.1% sementara Bersatu sebanyak 15%.

PAS menerima 17.9% sementara DAP hanya menerima 6.9% kurang dari Amanah yang menerima 8.7%.

Ketika ditanya mengenai persepsi terhadap senario politik negara 34.7% responden berkata politik dalam negara tidak stabil, sementara 21.7% lagi berkata sukar dijangka.

Sebanyak 16.12% responden berkata senario politik ketika ini kompleks dan 16.1% lagi berkata mengelirukan.

Ketika ditanya siapakah pimpinan muda masa hadapan negara, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berada di kedudukan tertinggi mendapat 24.9% penerimaan daripada responden sementara Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli di tangga kedua sebanyak 15.7% dan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di tempat ketiga sebanyak 15.2%.

Berhubung perkara atau isu yang perlu menjadi keutamaan parti politik dalam PRU-15, 45.1% responden berkata kos sara hidup  sementara keadaan ekonomi sebanyak 37.2%.

Hanya 5.3% berkata pekerjaan anak muda sebagai keutamaan dan 4.4% memilih sukan dan rekreasi lapor Malaysianow.

Dalam pada itu, 49.2% setuju supaya lebih ramai wanita harus diketengahkan sebagai calon dalam PRU-15, sementara 29.7% tidak setuju dan 21.1% lagi tidak pasti.

Demografi responden dalam tinjauan yang terdiri sebahagian besarnya dari Melayu sebanyak 2,344 responden, Cina (122), India (77) lain-lain Bumiputera (134) dan lain-lain (39) itu turut ditanya mengenai hubungan kaum di Malaysia di mana 52.3% berkata hubungan kaum berjalan dengan baik sementara 31.6% berkata tidak baik dan 16.1% lagi tidak pasti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here