Azmin akui cabaran besar menanti di Gombak

0
247

DATUK Seri Mohamed Azmin Ali mengakui cabaran besar menanti untuk mempertahankan kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berikutan perubahan lanskap politik semasa, khususnya membabitkan pengundi muda.

“Sudah tentu landskap politik kali ini sudah berubah dan anak muda juga akan terbabit dalam proses pemilihan pemimpin negara. Ini adalah cabaran besar buat saya dan juga calon lain.

“Kami berdepan situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam Malaysia. Cabarannya adalah bagaimana untuk kami yakinkan pengundi terutama dalam kalangan anak muda,” katanya lapor BH Online.

Bagaimanapun, beliau yakin dengan rekod pentadbiran PN yang disifatkan baik dan stabil untuk meyakinkan pengundi terutama dalam kalangan anak muda.

“Sekarang ini kita perlukan kerajaan yang stabil. Kita tidak boleh pertahankan kerajaan yang gagal memenuhi janji dan aspirasi rakyat. Kita tak boleh pertahankan mereka,” tegas Azmin.

Kerusi Parlimen Gombak menyaksikan persaingan lima penjuru membabitkan Azmin; calon Pakatan Harapan (PH) yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari; calon Barisan Nasional (BN), Datuk Megat Zulkarnain Omar Din; calon Gerakan Tanah Air (GTA), Jamaludin Mohd Tahir serta seorang calon bebas yang juga Presiden Penaja Parti Bahtera Sejahtera Malaysia, Zulkifli Ahmad.

Pada PRU14 lalu, Azmin memenangi kerusi terbabit dengan majoriti 48,721 undi di atas tiket PKR sebelum bertukar parti kepada BERSATU.

Mengenai punca adiknya, Azwan tarik diri daripada bertanding bebas di parlimen itu semalam, Mohamed Azmin berkata beliau tidak tahu-menahu mengenainya.

“Saya tidak tahu menahu (sebab Azwan tarik diri), saya hanya fokus kepada tanggungjawab untuk menjaga rakyat di Gombak,” katanya kepada media ketika ditemui pada sesi ramah mesra bersama komuniti Gombak, di sini, hari ini.

Semalam, Azwan atau lebih dikenali sebagai Diva AA mengumumkan untuk tarik diri daripada bertanding bebas selepas mendakwa mendengar bisikan daripada arwah ibunya, Mak Tom supaya melupakan hasratnya itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here