Jaga sikap, elak cetus provokasi ketika penamaan calon – SPR

0
244

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengingatkan penyokong setiap calon dan parti politik menjaga sikap dan mengelak provokasi bagi memastikan proses penamaan calon di seluruh negara bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berjalan lancar.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata penyokong yang menyertai perarakan diminta mematuhi arahan terkini daripada pihak polis serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Harapan kita bukan setakat SPR, tetapi juga seluruh rakyat negara ini supaya proses penamaan calon berjalan dengan lancar.

“SPR minta semua parti, penyokong dan pencadang patuh arahan dan elak timbulkan sebarang masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pusat penamaan calon (PPC) bagi kerusi Parlimen P125 Putrajaya di Kompleks Kejiranan Presint 9, di sini hari ini.

Ditanya kerja-kerja persiapan akhir menjelang hari penamaan calon di seluruh negara, Ikmalrudin berkata, secara amnya ia berjalan lancar dan giat dilaksanakan oleh petugas.

“Pegawai Pengurus (RO) pilihan raya sedang giat membuat persiapan. Itu maklumat yang kita terima,” katanya.

SPR menetapkan 5 November sebagai hari penamaan calon bagi PRU15 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, manakala hari pengundian ditetapkan pada 19 November dan hari pengundian awal pada 15 November ini.

Sebelum ini, Ikmalrudin dalam satu kenyataan memaklumkan penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara, termasuk menerusi apa jua jenis kenderaan bagi tujuan dakyah politik tidak dibenarkan pada hari penamaan calon.

Katanya, ia adalah satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Selain itu, beliau berkata, kertas penamaan calon boleh diserahkan dari jam 9 sehingga 10 pagi pada hari penamaan calon kepada RO di 222 PPC yang terbabit.

“Kertas penamaan calon boleh diserahkan oleh calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka. Pada hari penamaan calon, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke PPC,” katanya lapor BH Online.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here