Sweet Qismina, Adam Lee sah bergelar suami isteri

0
484

Selepas genap setahun mengikat tali pertunangan, pelakon Sweet Qismina selamat bergelar isteri kepada aktor Adam Lee, 28, dalam sebuah majlis akad nikah yang berlangsung di The Boathouse, Tasik Ampang, pukul 10.40 pagi tadi.

Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi, 25, menerima mas kahwin sebanyak RM2410.97 yang merupakan simbolik untuk tarikh lahir pelakon itu pada 24 Oktober 1997, lapor Kosmo!

Sementara wang hantaran pasangan itu yang pernah membintangi drama Bidadari Salju tayangan TV3 pada 2020 pula dirahsiakan.

Pengantin perempuan dinikahkan sendiri oleh abang kandungnya, Fahed Ashraf Supandi dengan sekali lafaz disaksikan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan merangkap Imam Satu Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang, Selangor, Ustaz Mohamad Khairi Hussein.

Lebih manis, majlis pernikahan pasangan itu turut memberi makna buat Sweet yang menyambut sambutan ulang tahun ke-25 pada hari ini.

Dalam majlis yang berlangsung, pengantin perempuan menerima tujuh dulang hantaran berbalas lima kepada pihak lelaki.

Sejurus akad nikah selamat dilafazkan Adam, Sweet yang ditemani ibunya di atas pelamin tidak dapat menahan sebak dan dilihat mengalirkan air mata tanda kesyukuran.

Terdahulu, pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 24 Oktober tahun lalu, juga pada sambutan ulang tahun kelahiran ke-24 Sweet.

Pasangan itu menjalinkan hubungan cinta sejak 2018 selepas Sweet mempelawa Adam atau nama sebenarnya Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee menemaninya ke sebuah anugerah berprestij. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here