Kenakan hukuman berat pemandu mabuk sebabkan kematian

0
216

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Pusat khususnya Kementerian Pengangkutan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenakan hukuman berat kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kematian orang yang tidak bersalah.

Pegawai Pendidikan CAP, N. V. Subbarow berkata, kejadian baru-baru ini di mana seorang wanita pejalan kaki terbunuh dilanggar pemandu mabuk membuktikan pemandu mabuk tidak bimbang dengan undang-undang dan kehidupan orang lain.

Menurut beliau, kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk sebelum ini juga sering dilaporkan dan insiden tersebut semakin meningkat tanpa rasa takut dalam kalangan pemandu mabuk.

Tegas beliau, pihaknya menggesa bahagian penguat kuasa Kementerian Pengangkutan dan polis membuat sekatan jalan raya dengan kerap dan pemandu mabuk yang ditangkap tidak dibenarkan terus memandu.

“Ahli keluarga pemandu mabuk juga mesti dipanggil untuk mengambil mereka dan pemandu mabuk harus dihentikan di tepi jalan sehingga ahli keluarganya tiba.

“Ini adalah satu-satunya cara untuk memberi pengajaran yang baik kepada pemandu mabuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media semalam melaporkan seorang wanita maut manakala seorang lagi parah selepas dilanggar pemandu kereta mabuk ketika melintas jalan di Jalan Banting-Kajang (Jalan Reko) berhampiran simpang masuk ke Taman Sri Langat, Kajang, Selangor.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu, pemandu berkenaan dipercayai dari Kajang Sentral menuju pulang ke rumah di Taman Sri Langat, Kajang.

Dalam pada itu, Subbarow turut mencadangkan lesen pemandu mabuk dibatalkan seumur hidup jika menyebabkan kematian kepada orang lain yang tidak bersalah.

“Kita menggesa polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk terus memeriksa pemandu mabuk ini pada setiap hujung minggu.

“Orang yang tidak bersalah tidak sepatutnya dibunuh oleh pemandu mabuk ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here