Bekas bendahari koperasi mengaku guna dokumen palsu

0
193

BEKAS bendahari sebuah koperasi didenda RM8,000 di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk laporan akhir program Unit Pembangunan Sosio Ekonomi Masyarakat India (SEDIC), tujuh tahun lalu.

Tertuduh, M. Santhi, 57, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dihadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Bendahari Koperasi Global and National Skill Development Seremban Berhad (GNSDC) didakwa dengan niat curangnya menggunakan sebagai tulen tiga dokumen iaitu Invois Shanvi Management & Trading untuk laporan akhir program SEDIC yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat koperasi GNSDS di Jalan Rasah, Seremban antara Oktober 2015 dan Oktober 2016.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, lapor Harian Metro.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM8,000 dan turut menetapkan tertuduh dihukum penjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Terdahulu, Peguam M. Dinesh yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan terhadap anak guamnya dengan alasan wanita itu kini tidak lagi bekerja dan perlu menanggung cucu.

Tambahnya, tertuduh juga sudah insaf dan pengakuan bersalah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here