Polis rampas dadah RM10 juta di inap desa

0
399

POLIS Kuala Lumpur menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan pil eramin five berjumlah lebih RM10 juta dalam serbuan di sebuah inap desa dan kondominium di Kajang, Selangor.

Polis mulanya menahan dua lelaki tempatan berusia 37 dan 39 tahun di Desa Sri Hartamas dan Bandar Damai Perdana, Kajang, Selangor, dalam ‘Operasi Leslie’ pada 13 Oktober lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata hasil soal siasat ke atas dua lelaki terbabit, polis menyerbu sebuah kondominium di Taman Desa, pada 11 Oktober lalu di mana dadah syabu bernilai RM1.3 dadah dirampas.

“Susulan tangkapan dua lelaki pada 13 Oktober itu kemudiannya membawa kepada serbuan di sebuah unit kediaman inap desa di Bandar Damai Perdana membabitkan 206 bungkusan teh Cina mengandungi dadah jenis syabu seberat 213 kg dan 112,000 pil erimin 5 seberat 33kg,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini, lapor BH Online.

Azmi berkata polis turut membuat sitaan harta membabitkan wang tunai sebanyak RM70,000 dan dua kereta jenis Toyota Altis serta sebuah kereta Kia Forte.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menjadikan rumah inap desa itu sebagai stor simpanan dadah sejak dua bulan lalu yang disewa pada harga RM280 sehari.

“Kami percaya sindiket ini sentiasa mengubah lokasi simpanan dadah yang dipercayai diperolehi dari utara tanah air itu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Setakat ini, kami percaya dadah berkenaan dipasarkan di sekitar Lembah Klang. Namun, siasatan lanjut sedang dijalankan sama ada ia dijual bagi pasaran luar Lembah Klang atau luar negara,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek berkenaan mempunyai rekod berkaitan dadah dan hasil ujian air kencing yang dilakukan mendapati mereka positif dadah jenis methaphetamin.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hingga 14 hari hingga 20 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Usaha mengesan saki baki ahli sindiket ini sedang giat dijalankan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here