PRU-15: Pembahagian kerusi PN di peringkat akhir

0
1288

PROSES pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) dijangka selesai Isnin ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada masa ini jawatankuasa perundingan sedang memperhalusi dan dijangka selesai dalam tempoh sehari atau dua akan datang.

“Saya sudah pun menerima senarai nama calon, setakat hari ini tidak langsung ada masalah tentang soal itu.

“Cuma saya beritahu pimpinan Bersatu dan PN di Johor, sewajarnya apa sahaja keputusan yang dibuat oleh badan pimpinan PN adalah terbaik,” katanya pada sidang media di Masjid Jamek Panchor pada Jumaat.

Terdahulu Muhyiddin yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Pagoh menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan sebelum menghadiri Majlis Kenduri Rakyat di lokasi sama.

Muhyiddin berkata, manifesto PN juga akan dimuktamadkan dengan tumpuan utama kepada menyelesaikan masalah rakyat.

“Nama dan tema akan kita umumkan, supaya menjadi tagline atau ‘war cry’ untuk bangkitkan semangat di kalangan ahli-ahli PN di seluruh negara,” ujarnya.

Mengulas mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu Johor, Muhyiddin berkata, semua jentera kempen diingatkan tentang cabaran melaksanakan dua tugas dalam satu masa.

“Walaupun kita sibuk dengan PRU, kita juga tidak boleh melupakan persiapan membantu rakyat jika banjir. Jadi dua kerja besar dalam satu masa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here