Abang tumbuk adik angkara asap masakan

0
190

ANGKARA asap masakan masuk ke bilik, seorang lelaki tergamak membelasah adik perempuannya sehingga cedera dalam kejadian Kajang, Selangor, malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam itu ketika mangsa berusia 24 tahun sedang memasak di dapur.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata bau dan asap masakan memasuki bilik suspek berusia 31 tahun yang sedang tidur bersebelahan dapur.

“Suspek kemudian keluar daripada bilik dan menunjukkan protes dengan cara menutup pintu secara kuat sambil memaki hamun adik perempuannya.

“Beliau juga bertindak menarik rambut, menumbuk dan menampar bahagian muka mangsa sehingga cedera serta patah gigi,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BH Online.

Mohd Zaid berkata, mangsa kemudian mendapatkan rawatan di hospital sebelum membuat laporan polis.

“Bertindak atas laporan, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan suspek di rumahnya jam 1.30 pagi tadi.

“Suspek direman empat hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor K Suresh di talian 017-4333795 bagi membantu siasatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here