Pelajar digalak kuasai pelbagai bahasa sebagai kelebihan

0
178

PELAJAR digalakkan menguasai pelbagai bahasa supaya memiliki kelebihan kerana kemahiran itu mempunyai peranan dalam dunia tanpa sempadan kini, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Bagaimanapun pada masa sama, beliau berkata, usaha diteruskan untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan termasuk memperkukuh penguasaan terhadapnya, lebih-lebih lagi ia adalah tunjang perpaduan negara.

“Kita perlu melihat dunia ini luas persaingannya. Oleh itu, premis asasnya ialah sesiapa yang menguasai apa juga bahasa, mereka mempunyai kelebihan.

“Dalam apa jenis bahasa sekalipun, jika seseorang mempunyai asasnya, ia perlu diperkukuhkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan 2022, lapor BH Online.

Radzi menekankan, adalah merugikan jika rakyat negara ini sekadar mempunyai pengetahuan asas dalam bahasa kebangsaan tetapi tidak meningkatkan penguasaan terhadapnya.

Dalam konteks sama, beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan, termasuk aktiviti penulisan dokumen rasmi kerajaan, pertandingan pantun serta nyanyian lagu puisi, selain menjalinkan kerjasama dengan pihak luar untuk mengasah bakat dalam bidang penulisan dan sayembara puisi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here