PM sahaja ada kuasa cadang bubar Parlimen

0
231

KUASA mencadangkan pembubaran Parlimen berada sepenuhnya dalam bidang kuasa Perdana Menteri dan tiada parti politik boleh mempengaruhi keputusan itu.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pembubaran Parlimen adalah di bawah kuasa Perdana Menteri, yang kemudiannya akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, Perdana Menteri terdahulu juga tidak pernah membincangkan secara terbuka mengenai tarikh pembubaran itu, sebaliknya memutuskan sendiri bila ia akan dibubar.

“Keputusan pembubaran ini tiada kena mengena dengan parti politik yang lain. Sebelum ini juga ia (tarikh) tidak pernah dibincangkan secara terbuka.

“Sebelum ini, PM (terdahulu) umum, maka bubarlah Parlimen. Mana ada parti lain beri pandangan dan campur tangan dari segi pembubaran.

“Bukan setakat perbincangan dengan parti lain, dengan parti sendiri pun tiada perbincangan. Kita tidak pernah cakap secara terbuka mengenai tarikh pilihan raya itu. Parti lain pun tak pernah, parti sendiri pun tidak pernah,” katanya selepas sesi dialog awam Idea Bina Negara (IBN) di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor, hari ini, lapor BH Online. 

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, beliau tetap mengambil kira dan mendengar setiap cadangan yang diberikan dalam parti sendiri atau parti pembangkang.

“Dia (Perdana Menteri) rasa wajar untuk bubar, dia bubarlah. Jadi apa yang dicadangkan parti lain itu tidak boleh mengubah atau mempengaruhi dari segi pembubaran Parlimen.

“Tetapi setiap cadangan dan pandangan itu, saya akan tengok, namun ia tidak boleh mempengaruhi kuasa untuk mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here