RM7.4 juta diluluskan untuk lapan projek pembaikan agensi KDN di Sabah-Hamzah

0
214

SEBANYAK RM7.4 juta telah diluluskan melalui Pelan Pusingan Kedua Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bagi melaksanakan lapan projek pembaikan dan naik taraf agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) di negeri ini, kata Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Katanya projek itu melibatkan pembaikan dan penggantian lif kompleks Polis Diraja Malaysia (PDRM);  pembaikan Ibu Pejabat Polis Kontigen Sabah; pembaikan pejabat, perumahan dan kemudahan PDRM; serta naik taraf dan penyelenggaraan pusat tahanan.

Hamzah berkata turut terlibat ialah naik taraf Pusat Latihan RELA Negeri Sabah; pembaikan cerun di Balai Polis Tongod; kerja naik taraf genset di Sekolah Henry Gurney Keningau; dan naik taraf jeti maritim di Tawau.

“Di bawah Pelan Pusingan Kedua RMK-12 juga terdapat projek baharu yang telah dikenal pasti untuk dilaksanakan di Sabah,” katanya berucap pada majlis penutupan Program ‘Kita Demi Negara’ Zon Sabah anjuran KDN di Dataran Kompleks Sukan Likas di sini hari ini dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hamzah berkata projek baharu itu antaranya melibatkan pembinaan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Manalunan; pembinaan Pos Kawalan PGA Poirgon; pembinaan Balai Polis Kuala Penyu dan perumahan; dan pembinaan Pondok Polis Kampung Pimping dan perumahan Membakut.

Beliau berkata bagi memperkasakan kawalan sempadan di Sabah, KDN telah melaksanakan beberapa inisiatif terutamanya dalam menambah bilangan pos kawalan PGA di kawasan pedalaman di Negeri Sabah dan Sarawak.

“Pada tahun ini, sebuah pos kawalan PGA sedang dalam proses pembinaan di Pagalungan, Nabawan. Pembinaan pos kawalan PGA ini akan meningkatkan kawalan keselamatan dan kedaulatan negara di sempadan serta akan meningkatkan ‘omnipresent’ anggota keselamatan di kawasan sempadan.

“Ia bertujuan bagi mengelakkan jenayah rentas sempadan khususnya pendatang tanpa izin dan penyeludupan barang-barang bersubsidi. KDN juga sedang menimbang membangunkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bantul, Pagalungan,” katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata untuk memperluaskan capaian perkhidmatan KDN kepada rakyat di kawasan pedalaman, KDN telah melaksanakan transformasi terhadap pos kawalan PGA yang juga akan berfungsi sebagai balai polis.

“Terdapat sembilan PGA di Sabah telah diperluaskan fungsi sebagai balai polis, antaranya dua pos di Semporna, dua di Beluran, dan masing-masing satu di Tawau, Kota Belud, Kudat, Kinabatangan dan Kota Marudu,” tambahnya.

Beliau berkata inisiatif itu juga menjadi contoh terbaik kerjasama strategik antara jabatan di bawah KDN apabila perluasan fungsi kepada balai polis ini juga melibatkan urusan di bawah Jabatan Pendaftaran Negara bagi pendaftaran kelahiran dan kematian.

Mengulas mengenai program ‘Kita Demi Negara’ itu, beliau berkata ia akan diperluas ke seluruh negara bagi menimbulkan kesedaran rakyat mengenai tanggungjawab bersama untuk menjaga keselamatan negara, bukan hanya tanggungjawab agensi kerajaan semata-mata, tetapi harus dipikul oleh semua pihak.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here