Kes Ebit Lew: Firdaus Wong terima gambar, mesej lucah dikongsi saksi pertama

0
280

SAKSI ketiga, Firdaus Wong memberitahu Mahkamah Majistret Tenom pada Jumaat bahawa dia telah menerima gambar kemaluan lelaki dan tangkap layar mesej lucah yang dikongsi oleh saksi pertama iaitu Mohd Fairuz Abu dalam perbicaraan hari keempat kes gangguan seksual Ebit Lew.

Firdaus Wong atau nama sebenarnya, Firdaus Wong Hai Hung, 39, berkata, gambar dan mesej itu dihantar kepadanya oleh Mohd Fairuz yang dikongsikan oleh pengadu (identiti tidak boleh didedahkan atas arahan mahkamah) dalam kes ini.

“Setelah Akhi Fairuz memaklumkan kepada saya bahawa pengadu telah menerima mesej-mesej serta gambar lucah daripada Ebit Lew, beliau telah berkongsi dengan saya gambar dan beberapa tangkap layar mesej lucah dari Ebit Lew yang diterima pengadu,” katanya, lapor Sinar Harian

Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria turut meminta Firdaus menjelaskan siapa Akhi Fairuz yang disebutkannya sebagai sahabatnya dalam soalan sebelum ini berkaitan wanita yang dibantu Multiracial Reverted Muslims (MRM).

Firdaus memberitahu mahkamah Akhi Fairuz yang disebutkan adalah Akhi Fairuz Al-Jengkawi yang merujuk kepada saksi pertama, Mohd Fairuz yang dikenalinya dalam sebuah program di laman sosial pada 2 Jun 2021.

Ditanya adakah Firdaus ingat apa gambar dan mesej lucah yang diterima daripada Akhi Fairuz yang dikongsikan oleh pengadu, beliau mengakui ingat mengenainya iaitu satu gambar kemaluan lelaki dan juga tangkap layar mesej-mesej lucah.

Seterusnya, Firdaus ditanya apa yang dilakukan terhadap gambar dan tangkap layar berkenaan sebaik menerimanya.

“Saya telah muat turun gambar dan tangkap layar setelah saya menerima dari Akhi Fairuz dan secara automatik tersimpan dalam telefon bimbit saya,” katanya.

Sebelum itu, dalam prosiding sama, Firdaus diminta menjelaskan apa bantuan yang telah diberikan MRM kepada pengadu dan suaminya.

“Kami di MRM telah memberikan bantuan kepada pengadu dengan memberikan tiket penerbangan serta penginapan bagi beliau dan suaminya selain menawarkan khidmat bantuan lain seperti guaman, kaunseling, rawatan Islam dan sebagainya jika diperlukan,” jelas beliau.

Diminta menjelaskan mengenai jadual penerbangan dan penginapan yang telah diberikan kepada pengadu, Firdaus memberitahu mahkamah bahawa ia adalah tiket penerbangan pergi dan balik pengadu serta suaminya antara Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur.

“Pengadu dan suami terbang ke Kuala Lumpur menerusi penerbangan Malaysia Airlines pada 6 Ogos 2021 kemudian berlepas pulang ke Kota Kinabalu pada 8 Ogos 2021 dan mereka telah menetap di sebuah hotel di Kuala Lumpur,” jelasnya.

Firdaus kemudian turut diminta menjelaskan kepada mahkamah, khidmat kaunseling dan rawatan Islam bagaimana yang diberikan kepada pengadu.

“Khidmat kaunseling kepada pengadu dan suaminya serta rawatan Islam adalah untuk memberikan semangat dan keluar dari trauma yang dialami,” katanya.

Perbicaraan ditangguhkan pada jam 11.30 pagi dan mahkamah telah menetapkan tarikh baharu iaitu 20 hingga 22 Disember depan untuk perbicaraan bersambung semula.

Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37, berhadapan dengan 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Beliau diwakili pasukan peguam yang terdiri daripada Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Dalam pada itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here