Bekas YDP majlis daerah mengaku tidak bersalah terima rasuah RM100,000

0
251

BEKAS Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan menerima rasuah berjumlah RM100,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.

Azhar Mohamed Ali, 48, membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan atas tuduhan menerima suapan antara Julai 2017 dan April 2019 daripada Azizul Ab. Majid ketika mereka mempunyai hubungan kerja rasmi.

Jika sabit kesalahan, Azhar berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Mengikut tuduhan pertama, Azhar didakwa menerima RM60,000 daripada Azizul di pejabat Majlis Daerah Kuala Langat di Banting, Selangor, pada 14 Julai 2017.

Tuduhan kedua menyatakan dia menerima RM10,000 daripada Azizul di Taman Casa Mekar di Sungai Merab, Sepang, Selangor, pada 6 Sept 2017.

Dalam tuduhan ketiga, Azhar didakwa menerima RM20,000 daripada lelaki yang sama di Amverton Cove Golf & Island Resort di Jalan Pulau Carey, Kuala Langat pada 18 Dis 2017.

Menurut tuduhan keempat pula, dia dikatakan menerima RM10,000 lagi daripada Azizul di Taman Casa Mekar pada 30 April 2019.

Rozilah membenarkan Azhar diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes seterusnya pada 26 Oktober.

Azhar diwakili Ariff Azami Hussein, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Yusriza Zulkifli.

Majlis Daerah Kuala Langat bertukar status kepada majlis perbandaran pada September 2020.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here