Kes Ebit Lew: Pengadu takut buat laporan, ada saudara kerja di Balai Polis Tenom

0
112

SAKSI pendakwaan pertama dalam kes gangguan seksual melibatkan pendakwah terkenal Ebit Lew memaklumkan bahawa pengadu takut membuat laporan polis disebabkan ada saudaranya yang bertugas di Balai Polis Tenom.

Perkara itu didedahkan Mohd Fairuz Abu, 37, kepada Mahkamah Majistret Tenom hari ini.

Saksi yang juga seorang pakar motivasi memaklumkan sebelum itu dirinya juga ada mencadangkan agar pengadu wanita itu membuat laporan polis di Sabah.

Jelas Mohd Fairuz, pengadu kemudiannya telah membuat laporan polis di Bukit Aman selepas membuat perbincangan dengan suaminya.

“Pengadu memberitahu dia takut membuat laporan polis di Balai Polis Tenom disebabkan ada saudaranya yang bertugas di balai berkenaan.

“Tenom ini sebuah daerah kecil dan ramai orang boleh tahu kalau dia buat ‘report’,” katanya sebagaimana lapor Astro AWani.

Mohd Fairuz dalam laporan itu berkata demikian ketika prosiding hari kedua berkaitan perbicaraan kes gangguan seksual yang dikaitkan dengan pendakwah itu.

Terdahulu, Lew tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Tenom kira-kira pukul 10.15 pagi dengan menaiki kereta jenis pacuan empat roda sambil diringi beberapa individu.

Mohd Fairuz turut menyatakan hantaran dalam laman sosial Facebook mencadangkan wanita lain yang menjadi mangsa agar menghubungi dirinya bagi kaunseling serta bantuan membuat laporan dimuat naik selepas laporan polis dibuat oleh seorang lagi pengadu wanita lain pada 26 Julai 2021.

Jelasnya hantaran itu juga dibuat selepas hasil perbincangan dengan Firdaus Wong serta peguam Multiracial Reverted Muslims (MRM).

“Selepas itu, semua aduan pengadu akan diserahkan kepada Sayap Wanita MRM yang mempunyai kaunselor dan pakar psikologi,” jelasnya ketika menjawab soalan peguam Ram Singh.

Lew, 37, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi Whatsapp antara Mac dan Jun tahun lepas.

Pendakwah selebriti itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here