Culik pengurup wang: Lima lelaki dipenjara seumur hidup dan 10 sebatan

0
241

LIMA lelaki dipenjara seumur hidup dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah menculik seorang pengurup wang bagi mendapatkan wang tebusan RM3 juta, enam tahun lepas.

Hakim Datuk Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap T. Shasitaran, 38, A. Ashokan, 39, Mohd Sultan Ahmad Kabir, 43, Ong San Chia, 37, dan Yeoh Shyh Ming, 33, di akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan setiap tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 2 dan 3 Okt 2016. Mereka dihantar ke Penjara Pulau Pinang untuk menjalani hukuman penjara.

Sebelum ini, kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi George Town di hadapan Hakim Akhtar, namun keputusan disampaikan oleh hakim tersebut di Mahkamah Tinggi di sini selepas beliau dipindahkan ke mahkamah itu.

Dalam penghakimannya, Hakim Akhtar berkata terdapat bukti menunjukkan mangsa diculik di hadapan rumahnya dan kesemua tertuduh menuntut wang tebusan.

Katanya, mahkamah mendapati kesemua tertuduh telah berbohong ketika memberikan keterangan bela diri bahawa mangsa tersalah mengenal pasti mereka yang menculiknya.

“Satu-satunya perkara yang perlu dipertimbangkan ialah niat untuk menculik dan mengurung mangsa, adakah untuk mengutip hutang, seperti yang dikatakan oleh kesemua tertuduh?

“Namun, mahkamah mendapati pembelaan kesemua tertuduh tidak logik dan difikirkan semula kerana mereka berada di penjara bersama-sama dan mempunyai masa mencukupi untuk mengemukakan cerita sama,” kata hakim itu dan menambah keterangan mangsa bahawa mereka menculiknya adalah benar.

Bagaimanapun, Hakim Akhtar berkata mangsa, yang menghidap penyakit diabetes hanya cedera pada ibu jarinya selepas tangannya digari dan mahkamah mendapati tiada keganasan melampau berlaku dalam kes itu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melarikan secara salah dan menahan lelaki itu bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM3 juta di tepi Jalan Rumbia berdekatan Kristal Garden, Bayan Lepas, kira-kira 10.30 pagi, 28 Sept 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebatan.

Pada 1 Mac lepas, Mahkamah Tinggi George Town memerintahkan kesemua tertuduh membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kelima-lima lelaki itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muna Mohamed Jaafar berkata mitigasi kesemua tertuduh adalah bersifat peribadi semata-mata dan mahkamah perlu mengambil kira perbuatan mereka dalam menjatuhkan hukuman.

“Dinyatakan dalam Akta Penculikan, hukuman bagi kesalahan menculik adalah hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum dengan hukuman mati, boleh dikenakan sebatan. 

“Ketika kejadian, mangsa berumur 66 tahun dan lelaki itu ditahan beberapa hari dengan tangannya bergari dan mata ditutup sebelum polis menemukannya,” katanya dan menambah pihak pendakwaan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah dalam menjatuhkan hukuman.

Peguam yang mewakili tertuduh memohon anak guam mereka tidak dikenakan hukuman mati sebaliknya penjara seumur hidup dengan alasan mereka menanggung keluarga.

Dalam prosiding itu, Shasitaran diwakili peguam K. Thangesvaran, Ashokan diwakili Chew Anthony, Muhamad Sultan diwakili Dev Chander manakala Ong dan Yeoh diwakili Ravi Chandran.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here