Tiada rasuah babitkan peruntukan KBS

0
274

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mendapati tidak berlaku kesalahan rasuah membabitkan peruntukan yang diberikan daripada kementerian berkenaan kepada persatuan sukan kebangsaan.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata sebelum diberikan peruntukan, persatuan sukan terbabit perlu menepati beberapa syarat ditetapkan seperti laporan Maklumat Yang Kena Beri (MYKB) dan aktif melakukan aktiviti melibatkan sukan yang diwakili.

Katanya, sejak beliau menerajui kementerian itu, mana-mana persatuan sukan yang gagal memberi laporan berkenaan untuk tempoh tiga tahun berturut-turut, tidak ‘dilayan untuk menerima apa-apa bantuan.’

“Saya terkejut juga apabila dikatakan persatuan sukan yang terima bantuan ‘hilang’, saya rasa istilah itu kurang tepat untuk digunakan. Pemeriksaan yang saya lakukan dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) dan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) mendapati perkara itu (rasuah) tidak berlaku dalam dana yang diberikan kepada persatuan sukan.

“Makluman saya dari pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) juga mengatakan mereka tidak menggunakan istilah tersebut, mungkin dilaporkan sedemikian. Mungkin pegawai itu cakap perkara pernah dilalui sebelum ini, bukan dilalui sekarang,” katanya selepas majlis Anugerah Penarafan Bintang Badan Sukan 2021 di sini hari ini.

Ahad lalu, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor dilaporkan berkata suruhanjaya itu mendapati wujud aktiviti rasuah dalam industri sukan negara dari segi pengurusan dana dan sebagainya.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata 99 badan sukan layak menerima penarafan bintang manakala 10,230 badan sukan masih tidak menepati syarat asas MYKB setakat 31 Disember 2020.

Daripada jumlah itu, hanya lima persatuan di peringkat kebangsaan iaitu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) dan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) – layak menerima penarafan lima bintang.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak lima peratus adalah badan sukan kebangsaan, badan sukan peringkat negeri (10 peratus), badan sukan daerah (66 peratus) dan badan sukan peringkat kelab (19 peratus).

“Saya tetap optimis program penilaian sebegini boleh dijadikan sebagai penanda aras dalam memantau pengurusan badan-badan sukan di Malaysia. Secara tidak langsung, ia mampu memberi suntikan semangat terhadap badan sukan untuk meningkatkan kecemerlangan tadbir urus yang lebih efisien,” katanya. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here