Juruteknik dipenjara 5 tahun kerana merompak, menyamar polis

0
190

SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini, kerana merompak warga Bangladesh dan menyamar sebagai polis.

Keputusan itu dibuat Hakim Nooriah Osman selepas tertuduh, Saiful Ridzuan Ibrahim, 31, mengaku salah terhadap kedua-dua pertuduhan berkenaan, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merompak wang tunai RM150 milik lelaki warga Bangladesh berusia 32 tahun di tepi jalan, Jalan Kuala Berang, Kampung Binjai Rendah, Kuala Terenganu, jam 8 pagi, 6 September lalu.

Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu menyamar sebagai penjawat awam iaitu anggota polis dengan cara menahan dan menyuruh mangsa menaiki kenderaan di tepi jalan, Jalan Pejabat di Kuala Terengganu, pukul 7.30 pagi, pada hari sama.

Bagi kesalahan merompak, tertuduh yang bekerja sebagai juruteknik didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK) dijatuhi hukuman penjara lima tahun.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 170 KK kerana menyamar sebagai penjawat awam dijatuhi hukuman penjara enam bulan.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan iaitu pada 22 September lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here