Prosiding cabar kredibiliti saksi disambung 31 Oktober

0
231

PROSIDING mencabar kredibiliti saksi pembelaan ketiga pada perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, disambung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Oktober ini.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik untuk menangguhkan prosiding untuk membolehkan pihak pembelaan melakukan penyelidikan bagi menyediakan penghujahan.

Hisyam memaklumkan, ini kali pertama beliau berhadapan situasi di mana dokumen yang telah diklasifikasikan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), dijadikan subjek dalam prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi.

“Sepanjang karier sebagai pengamal undang-undang, ini kali pertama isu (dokumen rahsia dijadikan subjek untuk mencabar kredibiliti saksi), dibangkitkan di mahkamah,” ujar peguam seperti dilaporkan Utusan Online.

Pada sebelah pagi, Hakim Collin membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memulakan prosiding mencabar kredibiliti seorang pengarah syarikat pembinaan pada perbicaraan itu.

Permohonan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran ketika menyoal balas saksi pembelaan ketiga, Jefri Jamil berhubung pembinaan sekolah agama dan masjid di Masjid Tanah, Melaka yang dibiayai menggunakan dana Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid.

Pihak pendakwaan berpendirian, keterangan Pengarah Syarikat Teknik Sempurna Sdn. Bhd. itu di mahkamah bercanggah dengan pernyataan yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), empat tahun lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berhujah, pihak pendakwaan dan pembelaan tidak perlu terlibat dalam prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi.

Beliau berhujah, berdasarkan nas undang-undang, hakim bicara akan meminta saksi berkenaan menjelaskan mengapa wujud perbezaan di antara keterangan di mahkamah dan pernyataan kepada SPRM.

Hujah Raja Rozela, mahkamah kemudian akan membuat keputusan pada akhir perbicaraan sama ada wujud percanggahan atau sebaliknya.

Selepas menangguhkan prosiding mencabar kredibiliti saksi, mahkamah menyambung perbicaraan dengan mendengar keterangan saksi pembelaan keempat, bekas Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) (Dasar dan Kawalan), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Suriani Ahmad.

Dalam pernyataan bertulisnya, beliau mengetahui pelantikan Profound Radiance Sdn. Bhd. (PRSB) sebagai operator di Operasi Pusat Sehenti (OSC) di Nepal dan Pakistan ketika bertugas di KDN.

Keterangan beliau disambung hari yang sama 31 Oktober ini.

Beliau memberi keterangan pada perbicaraan Presiden UMNO yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana yayasan untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here