Pelajar Bangladesh didakwa miliki, hasil pornografi kanak-kanak

0
227

SEORANG pelajar perubatan warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret atas 12 tuduhan memiliki dan menghasilkan bahan pornografi kanak-kanak.

Zobaidul Amin, 24, pelajar di sebuah universiti di Kuala Lumpur ditangkap polis di sebuah rumah di Seremban pada Isnin lalu dalam satu siasatan bersama Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat.

Pelajar itu didakwa atas lapan tuduhan menghasilkan pornografi kanak-kanak dalam bentuk video dan gambar menerusi aplikasi Snapchat, memetik laporan FMT.

Tuduhan itu mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum penjara tidak lebih 30 tahun dan enam sebatan.

Dia juga didakwa dengan empat tuduhan memiliki 740 gambar pornografi kanak-kanak di dalam telefon bimbit, pemacu USB dan cakera keras.

Bagi kesalahan itu, dia  dituduh mengikut Seksyen 10 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Zobaidul didakwa melakukan kesalahan itu antara 26 Okt 2021 hingga 19 Sept tahun ini.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan.

Hakim Datin Surita Budin menetapkan ikat jamin RM8,000 bagi setiap tuduhan yang semuanya berjumlah RM96,000 tetapi Zobaidul gagal membayar ikat jamin dan dibawa ke penjara Seremban.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam Harvindar Singh.

Mahkamah menetapkan 30 Nov ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, Setiausaha Polis Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan memberitahu, semua mangsa Zobaidul adalah dari luar negara dan tertuduh menggunakan media sosial untuk berhubung dan memeras ugut mereka bagi mendapatkan bahan berusur pornografi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here