[VIDEO] ‘Poster boy’ bukan jaminan Ismail Sabri jadi PM selepas PRU-15

0
409

PENEGASAN Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai ‘poster boy’ Barisan Nasional (BN) bukan jaminan beliau kekal menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali, ini kerana tiada inisiatif jelas dilihat dalam menjadikan Ahli Parlimen Bera itu sebagai Perdana Menteri sekali lagi.

“Persoalannya adakah Ahmad Zahid akan menepati janji? Ini bukan jaminan yang wajib dilaksanakan sebab antara Ahmad Zahid dan Ismail Sabri, tidak ada usaha atau inisiatif ketara dibuat supaya Ismail Sabri dilihat sebagai bakal Perdana Menteri selepas PRU-15.

“Sebagai contoh, apa salahnya Ahmad Zahid serahkan jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) kepada Ismail Sabri kerana beliau adalah Perdana Menteri ketika ini.

“Selepas itu, bincangkan pelan peralihan kuasa Ismail Sabri sebagai Presiden UMNO pada pemilihan parti akan datang,” katanya memetik laporan BH, hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN mengesahkan Ismail Sabri kekal sebagai ‘poster boy’ calon Perdana Menteri BN pada PRU-15 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan Ismail Sabri akan dipilih sebagai Perdana Menteri jika parti itu memenangi PRU-15.

Mazlan berkata, jaminan Ismail Sabri sebagai bakal Perdana Menteri penting kerana beliau perlu diberi peranan yang bukan sekadar memimpin gabungan BN tetapi juga dalam urusan berkaitan pilihan raya.

“Katakanlah BN menang besar pada PRU-15, sebagai Presiden UMNO dan ketua parti majoriti, Ahmad Zahid sepatutnya menjadi Perdana Menteri.

“Justeru, buat apa lantik seorang Naib Presiden sebagai Perdana Menteri, itu logik yang jelas.

“Jadi seperti apa yang berlaku di Johor, akhirnya bekas Menteri Besar tak dilantik (semula), orang lain yang tak dijangka pula dilantik sebagai Menteri Besar. Saya fikir Ismail Sabri pun memahami situasinya sekarang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here