[VIDEO] Ringgit jatuh: Campur tangan kerajaan penting, perlu dilakukan segera

0
359

KERAJAAN tidak boleh memandang enteng isu kejatuhan nilai ringgit kerana ia berkait rapat dengan kehidupan rakyat.

Pakar ekonomi Universiti Malaya, Profesor Dr. Fatimah Kari berpendapat bahawa kos sara hidup dan nilai mata wang ringgit merupakan dua isu utama yang mana, jika salah satu daripada isu berkenaan diselesaikan, ia, mampu membantu menyelesaikan masalah ekonomi negara.

“Menerusi intervensi makro, Bank Negara Malaysia (BNM) perlu beritahu kebenaran. Dengan kenaikan OPR, adakah ia membantu untuk seimbangkan ringgit?

“Jika tidak, jangan naikkan OPR kerana ia akan memburukkan situasi kos sara hidup dan nilai mata wang ringgit.

“Kedua, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dari luar negara perlu dipergiat untuk kembali melabur ke negara ini berbanding menaikkan OPR,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini berkata bahawa penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS tidak akan memberi kesan kepada ekonomi negara.

Kenyataan itu disanggah banyak pihak termasuk Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa kerajaan memandang serius isu kejatuhan nilai mata wang ringgit dan mencari langkah segera bagi mengelak ia menjadi lebih parah.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kejatuhan ringgit memberi kesan secara langsung terhadap harga barang makanan memandangkan nilai import makanan sahaja mencecah RM63 bilion dan perkara ini pastinya bukan sesuatu yang baik kepada rakyat.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata, pada peringkat mikro kerajaan perlu memastikan bahawa tiada lagi rakyat yang kehilangan kerja atau peluang pekerjaan yang disia-siakan selain mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja warga asing.

“Tiada jalan keluar, kita perlu pergiatkan sektor 3D seperti pertanian dengan teknologi dan program sijil. Pembahuran pasaran buruh perlu bermula dengan gaji dan jenis industri yang kita perlukan untuk memacu pemulihan ekonomi Malaysia pasca pandemik.

“Usaha jangka masa sederhana dan panjang dalam usaha bergerak ke arah ekonomi pekeliling (circular economy) kerana ia merupakan ‘ekonomi sebenar’ bukan ‘ekonomi spekulatif. Manakala Tengku Zafrul selaku Menteri Kewangan menjalankan ekonomi perbankan, bukan ekonomi rakyat,” ulasnya

Sementara itu Pakar Ekonomi Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, kesan kejatuhan ringgit akan menyebabkan harga untuk negara mengimport barangan makanan semakin meningkat.

“Kerajaan perlu memberikan perhatian menjadikan Malaysia sebuah negara yang aktif mengeksport barangan makanan.

“Kalau boleh diusahakan untuk menjadi sebuah negara yang mampu menyediakan barangan makanan untuk rakyat sendiri, melalui pengeluaran dalaman. Tidak kisah dari sektor pertenakan, pertanian atau perikanan,” ujarnya ketika dihubungi SatuBerita pada Isnin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here