Bapa pelakon remaja ditahan bagi siasatan kes pukul pula

0
262

BAPA kandung kepada pelakon remaja perempuan direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes ugut dan pukul ibu pelakon itu.

Memetik laporan Harian Metro, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, reman ke atas lelaki berusia 43 tahun itu diperoleh tiga hari sehingga 20 September ini.

Media itu semalam melaporkan suspek yang ditahan oleh polis Klang Utara sebelum ini dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan kes ugut dan pukul ibu pelakon itu.

Suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Petaling Jaya di perkarangan IPD Klang Utara, pada pukul 4.10 petang semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Pada 12 September lalu, Harian Metro melaporkan bapa kandung kepada pelakon remaja perempuan itu dirujuk ke IPD Shah Alam susulan laporan dibuat mangsa yang mendakwa dipukul menggunakan penyangkut baju pada 2014.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim dilaporkan berkata, mangsa membuat laporan itu pada 8 September lalu.

Sebelum ini, media melaporkan suspek berkenaan ditahan pada 6 September lalu atas dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap anaknya.

Suspek ditahan di kediamannya di Kedah dan polis turut merampas telefon bimbit dan dihantar ke Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dianalisa.

Baru-baru ini, pelakon itu menerusi satu temu bual di laman YouTube, mendedahkan sikap buruk bapanya yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadapnya selain turut memperlakukan ibunya dengan teruk.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here