Adik beradik mangsa dera stabil, lebih ceria – Rina

0
353

DUA beradik yang diselamatkan selepas dipercayai didera ibu dan bapa saudara di sebuah kondominium di Taman Cahaya, Ampang, kini dilaporkan stabil dan lebih ceria berbanding sebelum ini.

Memetik laporan Harian Metro, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membantu menguruskan penempatan sementara kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing berusia lapan dan enam tahun itu dalam tempoh 30 hari sebelum mendapat perintah penjagaan dikeluarkan mahkamah.

“Apa yang penting kini adalah memastikan keadaan fizikal mangsa pulih dan emosi mereka stabil terlebih dulu.

“Ibu mangsa yang berada di Sabah juga sudah dihubungi dan wanita itu akan dibawa ke sini untuk mendapatkan sesi kaunseling dan bantuan lanjut daripada JKM.

“Kementerian berharap keadaan seumpama ini tidak menjadi trend khususnya ketika ibu bapa atau penjaga mengalami tekanan emosi khususnya disebabkan kemelut ekonomi seterusnya melepaskan amarah kepada kanak-kanak yang tidak berdosa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat dua beradik berkenaan di Hospital Ampang, hari ini.

Jumaat lalu, media melaporkan jeritan meminta tolong dari kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang terperangkap pada belebas tingkap di sebuah kondominium di Taman Cahaya di sini, ketika cuba melarikan diri berjaya menyelamatkannya daripada terus menjadi mangsa dera.

Kanak-kanak itu diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu dipercayai mangsa penderaan berdasarkan kesan-kesan birat dan luka pada tangan, lengan, kaki dan belakang badan.

Susulan itu, pasangan suami isteri ditahan pada hari sama, sebelum direman selama seminggu bagi membantu siasatan selepas disyaki mendera dua anak saudara

Lebih menyedihkan, kanak-kanak lelaki terbabit dan adik perempuannya dipukul dengan getah paip, rotan dan tali pinggang oleh suami isteri terbabit kononnya mereka degil serta tidak mahu mendengar kata.

Dalam perkembangan berasingan, Rina berkata, perjawatan pelindung kanak-kanak perlu ditambah dalam kadar segera bagi menguruskan kes berkaitan penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

Menurutnya, ini kerana nisbah seorang pelindung kanak-kanak kini akan menguruskan kes penderaan dan pengabaian untuk 50 hingga 100 kanak-kanak.

Jumlah itu katanya sudah melebihi nisbah ideal seorang pelindung kanak-kanak sepatutnya menguruskan 30 hingga 35 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

Katanya, nisbah itu meningkat khususnya di negeri berkepadatan tinggi seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Perak.

“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah meluluskan 1,122 perjawatan pada 2020 bagi pengambilan dalam tempoh lima tahun dengan purata 250 pengambilan setiap tahun bermula 2021 dan 224 pengambilan tahun ini.

“Kini hanya ada 474 pelindung kanak-kanak di seluruh negara dan jumlah ini sudah pasti masih tidak mencukupi untuk pelindung kanak-kanak sedia ada memantau dan menguruskan hal berkaitan kebajikan mangsa dera dan pengabaian.

“Pelindung kanak-kanak ini berperanan meneliti keadaan terkini, menyediakan penempatan sementara, memantau keadaan sebelum membuat syor kepada mahkamah untuk setiap kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

“Kementerian berharap jumlah pengambilan pelindung kanak-kanak ini boleh ditingkatkan segera ekoran pelbagai isu membabitkan penderaan dan pengabaian kanak-kanak berlaku dalam masyarakat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here