Tak bertanggungjawab buat PRU15 semasa banjir – Rafizi

0
227

PELAKSANAN Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ketika negara berdepan banjir adalah sikap tidak bertanggungjawab. 

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, ahli politik seharusnya memberi tumpuan terhadap usaha menghadapi banjir dan membantu rakyat, bukannya fokus 100 peratus untuk memenangi PRU15. 

Bagaimanapun, beliau menegaskan, PKR sudah bersedia berkempen ketika banjir sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memutuskan untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan mengadakan PRU15 dalam masa terdekat. 

“Sebagai ahli politik, kita ada tugas untuk berkhidmat kepada rakyat lebih-lebih lagi ketika negara dijangka berdepan dengan monsun. Kita tahu betapa dahsyat musibah menimpa rakyat ketika berdepan banjir. 

“Jadi, ia adalah langkah tak bertanggungjawab untuk fokus pada PRU15 ketika mengetahui akan berdepan banjir. Sejak banjir buruk pada tahun lalu, tidak ada pembinaan struktur baharu bagi mendepani banjir, paling hebat dibuat hanya tambah bilangan bot.

“Namun, Pakatan Harapan (PH) berpendirian sekiranya hendak panggil PRU15, silakan, kami sudah bersedia. Ia tidak akan mengubah keadaan kerana rakyat sudah membuat keputusan,” katanya selepas Jelajah Trak Ayuh Malaysia Zon Selatan di pekarangan Pusat Khidmat Parlimen Johor Bahru, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir yang juga Pengarah Strategik PKR.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, parti itu sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika PRU15 diadakan tahun ini. 

Rafizi yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor berkata, jentera PKR akan bergerak secara senyap di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi PRU15 pada bila-bila masa. 

Sekiranya PRU15 diadakan ketika monsun, jentera parti tidak boleh 100 peratus berkempen semata-mata, sebaliknya perlu turun untuk membantu rakyat di negeri yang terkesan banjir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here