Polis kesan saksi kemalangan maut di Lebuhraya Utara-Selatan

0
270

Polis sedang mengesan saksi kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal yang maut di Kilometer 184.7, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Alor Pongsu di sini pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, mangsa, Muhammad Syafiq Abu Bakar, 28 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mazuki Mat berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa sedang dalam perjalanan pulang dari Cameron Highlands ke rumahnya di Bandar Baharu, Kedah.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan menyebabkannya dia terjatuh ke atas jalan.

“Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

“Berdasarkan siasatan awal, nahas dipercayai berlaku selepas motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan dan terjatuh sendiri,” katanya dalam kenyataan sepertimana dilaporkan Astro AWANI.

Menurut Mazuki, pihaknya memohon saksi yang melihat dan mempunyai maklumat kejadian itu supaya tampil membantu siasatan polis.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Khairul Hanafi Hanapi di talian 013-6200564 untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here