Kejadian dua beradik rentung tiada elemen jenayah-KP Johor

0
281

KEJADIAN dua beradik rentung dalam kebakaran di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri di sini semalam tidak melibatkan sebarang elemen jenayah.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata justeru itu ibu bapa khususnya dinasihatkan agar sentiasa memastikan tahap keselamatan di rumah terutamanya barangan elektrik berada dalam keadaan baik.

“Ambil pengajaran daripada apa yang berlaku semalam, polis buat siasatan juga ditakuti ada elemen jenayah boleh disiasat…tetapi kita percaya elemen itu tiada,“ katanya ketika melawat lokasi kejadian dan menyerahkan sumbangan kepada bapa mangsa, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Khaw Kok Chin.

Kamarul Zaman berkata pihak polis juga akan membantu mempercepatkan proses bedah siasat dua mayat mangsa hari ini di Hospital Sultanah Aminah.

  Sementara itu, bapa mangsa Muhammad Fikri Abdul Mubian, 28 tahun ketika ditemui berkata dia tidak menyangka dua anaknya itu ‘hilang’ sekelip mata dan menjelaskan isteri Nurul Ain Najihah Zulkifli, 27 masih trauma.

Dia yang baharu menyewa empat bulan di rumah itu berkata kejadian berlaku ketika dia sedang bekerja.

“Isteri ada cerita..anak-anak baru lepas mandi dan makan, dia pergi buang sampah tidak sampai 15 minit perkara ini berlaku.

“Tidak boleh dijangka, saya pun tidak boleh buat apa-apa dan tidak boleh hendak salahkan sesiapa, memang ajal macam ini saya kena terima,” katanya yang berasal daripada Negeri Sembilan.

Katanya dia juga akan berpindah daripada kawasan itu kerana tidak mampu menahan kepedihan kemalangan yang menyebabkan kematian kedua-dua anaknya itu.

Dalam insiden pada 1.40 tengah hari semalam, dua beradik itu yang dikenali sebagai Muhammad Zafran Muhammad Fikri, 3, dan Nurul Hawa Zafira Muhammad Fikri, 2 ditemukan rentung di dalam bilik tidur mereka.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here