16 ditahan polis, serbuan stor diesel bernilai RM41,710

0
228

POLIS merampas 19,400 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM41,710 dari sebuah premis di Kawasan Perindustrian Semambu, Kuantan, yang dipercayai dijadikan stor simpanan kegiatan penyelewengan bahan bakar itu, petang semalam. 
 
Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Abd Razak Mohd Yusoff berkata kegiatan itu terbongkar hasil risikan selama tujuh hari yang membawa kepada penahanan 16 lelaki warga tempatan berusia antara 18 hingga 65 tahun, termasuk seorang yang dipercayai pemilik stor tersebut. 

 
“Serbuan bermula pada pukul 4.10 petang semalam, oleh pasukan Ibu Pejabat Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Batalion 7 PGA ke atas sebuah lori yang dinaiki dua suspek di Jalan Perindustrian Semambu yang menemukan dua tangki berisi diesel. 

“la seterusnya membawa kepada serbuan bersama pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang di stor tersebut dan terdapat 38 buah tangki dengan 34 daripadanya berisi diesel antara 200 hingga 900 liter setiap satu,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. 

 
Abd Razak berkata turut dirampas ialah tiga buah lori, kereta (enam), set pam penyedut dan hos (dua), generator elektrik (satu), resit pembelian minyak diesel dari pelbagai stesen minyak (81 keping), telefon bimbit (16), dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM582,550. 
 

Semua suspek kini diserahkan kepada KPDNHEP untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa lesen yang boleh dihukum denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun bagi kesalahan pertama, jika sabit kesalahan. -BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here