Tukang cuci Bangladesh didakwa bunuh rakan senegara

0
192

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SEORANG warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya dalam kejadian dua minggu lalu.

Tertuduh, Mohammad Imran Miah, 31, yang bekerja sebagai tukang cuci mengangguk faham sebaik sahaja pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang tinggal di negara ini sejak enam tahun lalu didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian seorang kenalan lelaki berusia 32 tahun di hadapan pintu masuk Kompleks Astaka Bukit Gedung, Bayan Baru antara pukul 9.30 hingga 11.17 malam, pada 21 Ogos lalu.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan membawa hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atiqah Asharaf Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 23 November ini untuk laporan bedah siasat.

Pada 21 Ogos lalu, akhbar melaporkan seorang warga Bangladesh ditemukan maut dipercayai ditikam menggunakan pisau pada bahagian kiri perut di pekarangan Astaka Bukit Gedung.

Susulan kejadian itu, polis menahan empat lelaki warga asing berusia 31 hingga 45 tahun di sekitar lokasi kejadian dan mengesahkan kejadian berkenaan dipercayai bermotifkan dendam. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here