Dewan Ulama, Pemuda Pas teruskan misi satukan parti Melayu, tolak kerjasama dengan PH

0
243

DEWAN Ulama Pas dan Dewan Pemuda Pas Pusat hari ini sebulat suara menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan meneruskan misi menyatukan parti-parti Melayu serta NGO Melayu.

Pendirian kedua-dua dewan itu dijangka diperkukuhkan dalam Muktamar Tahunan Pas Ke-68 esok di Kota Sarang Semut.

Pada muktamarnya hari ini di Guar Chempedak,  Dewan Ulama Pas sebulat suara menerima dan meluluskan usul untuk parti itu menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) melalui pertandingan satu lawan satu dan menolak sebarang kerjasama dengan PH.

Usul tersebut dikemukakan dan dibentangkan wakil Dewan Ulama Pas Kelantan, Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail dan diluluskan di peringkat sayap itu untuk dibawa ke Muktamar Pas esok.

Kata Saripuddin, Pas hendaklah memainkan peranan secara proaktif untuk menyatukan parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya kekuatan politik Melayu-Islam dapat disatukan di bawah agenda penyatuan ummah.

“Strategi satu lawan satu hendaklah dilaksana bagi mengelak pertembungan sesama sendiri di kawasan majoriti pengundi Melayu supaya tidak berlaku perpecahan undi yang hanya akan menguntungkan PH.

“Seterusnya menolak sebarang kerjasama politik dengan PH dalam PRU ke-15 nanti,” katanya yang juga ADUN Selising ketika membentangkan usul berkenaan yang diterima perwakilan sebulat suara tanpa dibahaskan.

Di Alor Setar, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli menegaskan, pendirian Pemuda Pas selari sebagaimana pucuk pimpinan yang telah menyatakan tiada rundingan dan kerjasama dengan PH.

Tegasnya, apatah lagi terhadap pihak yang pernah menggelar Presiden Pas sebagai antara tiga jahanam, selain menyerang kerajaan diterajui Pas di Kelantan dan Terengganu.

“Kita ada border, ada line yang tak boleh kita cross iaitu menyatakan pendirian, menyatakan pendirian. Tetapi mensyarahkan pendirian parti ialah merupakan kerja kita sebagai Pemuda. 

“Tuan Guru Presiden pimpinan telah menyatakan bahawa tidak ada sebarang rundingan dengan Pakatan Harapan dalam pilihan raya, maka ke situlah pendirian kita. Tak perlu kita bertindak lebih bijak daripada pimpinan.

“Dalam kenyataan yang berbentuk pendirian ini perlu untuk kita faham, perlu untuk kita hadam di dalam benak fikiran kita. Kalau saya sentiasa sebut bahawa dalam menentukan pendirian parti, kita sudah ada pemimpin,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, Pas akan dilihat terus relevan selepas daripada ini berikutan pelbagai isu yang berlaku seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya, kerana parti ini jelas berintegriti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here