Shahir juara AF8 sah bergelar suami Jaskin Jaludin

0
590

Juara musim kelapan program realiti, Akademi Fantasia (AF8), Shahir Zawawi, 34, selamat diijabkabulkan dengan Jaskin Jaludin, 30, dengan sekali lafaz di sebuah premis acara di sini, pada jam 9.10 malam tadi.

Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Jaludin Nongche dengan disaksikan jurunikah, Ustaz Muhammad Hakimi Mustapai.

BH Online melaporkan pada majlis itu, Shahir menyerahkan mas kahwin RM300 dan wang hantaran RM20,000.

Pengantin perempuan memberi lima dulang hantaran dibalas tujuh dulang oleh pengantin lelaki.

Shahir yang popular dengan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan bersyukur atas kelancaran majlis akad nikah yang turut disaksikan keluarga dan kenalan kedua-dua pihak.

“Alhamdulillah, syukur segala-galanya lancar. Terima kasih kepada semua pihak terbabit.

“Sebelum bernikah ada rasa gementar, tetapi selepas semuanya selesai, saya lega. Semoga ikatan ini berkekalan hingga ke akhir hayat,” katanya ketika ditemui selesai majlis akad nikah di sini, malam tadi.

Majlis akad nikah itu dihadiri oleh 300 tetamu.

Shahir bertunang dengan Jaskin yang berasal dari Tawau, Sabah, pada 16 Julai lalu selepas berkenalan melalui Instagram (IG), Aidilfitri lalu.

Shahir dan isteri yang juga pemilik butik, akan pulang ke Tawau untuk majlis resepsi, kira-kira tiga minggu lagi.

Sebagai hadiah buat Jaskin, Shahir mencipta lagu khas berjudul Halal yang akan dipersembahkan pada majlis resepsi di lokasi sama, malam esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here