Wujud pencabulan hak asasi manusia etnik Uighur – PBB

0
280

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa berlaku pencabulan serius terhadap hak asasi manusia membabitkan etnik Uighur dan kumpulan lain yang kebanyakannya Muslim di wilayah Xinjiang, China.

Badan dunia itu yang mengeluarkan laporan semalam menerusi Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia (OHCHR) mendakwa China telah memusnahkan pelbagai tapak etnik Islam Uighur di Xinjiang, daripada masjid hingga kubur orang Islam.

Laporan itu turut menyebut tuduhan berhubung penyeksaan ke atas golongan terbabit adalah boleh dipercayai dan berkemungkinan berlaku jenayah kemanusiaan.

Laporan berkenaan yang mengambil masa kira-kira setahun, dikeluarkan hanya 13 minit sebelum Michelle Bachelet menamatkan penggal empat tahunnya sebagai Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia.

Xinjiang ialah wilayah autonomi di barat daya China yang menempatkan sekurang-kurangnya 10 juta etnik Uighur Muslim dan minoriti lain yang disyaki menjadi sasaran penganiayaan oleh Presiden kerajaan Xi Jinping.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB merumuskan bahawa terdapat pelanggaran hak asasi manusia yang serius yang dilakukan oleh China terhadap orang Uighur dan minoriti lain di Xinjiang.

Pelanggaran ini terdiri daripada penahanan, sekatan ke atas penularan dan amalan keagamaan, sehingga memusnahkan tapak etnik Muslim.

“Selain peningkatan sekatan terhadap pengamalan agama Islam adalah laporan berulang tentang kemusnahan tapak agama Islam, seperti masjid, tapak suci dan tanah perkuburan, terutamanya semasa kempen ‘Strike Hard’,” kata laporan suruhanjaya itu yang dikeluarkan Rabu.

Strike Hard ialah dasar China untuk mengetatkan pengawasan terhadap Muslim Uighur di Xinjiang.

PBB juga berkata kira-kira 20,000 daripada 35,000 masjid China berada di Xinjiang telah dimusnahkan oleh pihak berkuasa.

Kesimpulan itu diperoleh daripada membandingkan hasil lawatan pasukan suruhanjaya khas ke Xinjiang dengan siasatan seorang wartawan dan imej satelit.

Namun, kerajaan China secara konsisten menafikan dakwaan mengenai pemindahan atau pemusnahan tapak keagamaan secara tidak wajar.

Sebaliknya, mereka mengatakan bahawa masjid dalam keadaan rosak dan dibina semula atas sebab keselamatan.

Kerajaan China juga mendakwa pengebumian dan adat pengebumian dilindungi.

Di samping itu, mereka menyatakan bahawa kumpulan etnik yang berbeza telah memindahkan kubur atas kehendak mereka sendiri di beberapa tempat lain.

Berdasarkan gambar satelit pada Mac 2013, satu bangunan kelihatan seperti sebuah kuil. Pada Disember 2017, bangunan itu dilihat musnah. Kemudian pada Jun 2020, sisa bangunan itu tidak kelihatan.

“Imej satelit Google Earth dari Disember 2017 hingga Jun 2020 menunjukkan kuil itu dimusnahkan dan tanah perkuburan, setelah dikelilingi oleh bendera jemaah haji, telah dipadamkan,” kata laporan PBB.

PBB setakat ini tidak dapat mencapai kesimpulan yang kukuh mengenai tahap kemusnahan tapak agama Islam di Xinjiang. Suruhanjaya PBB berhujah bahawa mereka tidak mempunyai akses daripada kerajaan China untuk menjalankan siasatan terhadap lokasi itu.

Walau bagaimanapun, PBB terus menegaskan bahawa laporan kemusnahan ini sangat membimbangkan. – AGENSI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here