Polis tahan 2 individu kes tular gaduh berebut tapak niaga

0
483

POLIS menahan dua individu bagi membantu siasatan berhubung satu video tular didakwa perselisihan faham di tapak pasar pagi di Taman OUG, Kuala Lumpur, pada Ahad.

Video berdurasi satu minit 24 saat itu memaparkan perbuatan individu meletakkan beberapa bakul plastik berisi sayuran di atas bonet dan bumbung kereta serta mencampakkan besi payung khemah di bahagian hadapan kereta Perodua Bezza menyebabkan cermin hadapannya retak dan bercalar.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara dua peniaga yang berebut tapak niaga di situ.

“Ketika kejadian anggota dari Balai Polis Petaling ke lokasi dan mendapati perselisihan faham sudah diselesaikan.

“Susulan itu, laporan polis dan tangkapan dibuat terhadap seorang lelaki dan wanita,” katanya dalam kenyataan pada Isnin memetik laporan Berita Harian.

Amihizam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan kerana membuat khianat dan ugutan jenayah.

“Polis mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini tampil memberi keterangan.

“Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai berdekatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here