Armada Bersatu lapor polis dakwa ucapan Zahid berbaur hasutan

0
318

ARMADA Bersatu menyifatkan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Taklimat Khas Presiden UMNO berbaur hasutan dan mengancam keselamatan negara.

Ketua Penerangannya, Mohd. Ashraf Mustaqim berkata, dalam ucapan itu, Ahmad Zahid didakwa menghina dan memfitnah institusi kehakiman negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Yang di-Pertuan Agong berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau menambah, satu laporan polis telah dibuat ke atas Ahmad Zahid kerana dakwanya, intipati ucapan bekas Timbalan Perdana Menteri itu secara jelas bersifat menghasut rakyat.

“Ingin menanam kebencian, menanam prasangka supaya rakyat tidak mempercayai integriti institusi-institusi ini, sekali gus mengancam keselamatan negara.

“Ahmad Zahid telah membuat fitnah terhadap sistem kehakiman negara yang kononnya telah dinodai oleh tangan-tangan ghaib, ia jelas telah menghasut rakyat dan merosakkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, pada Isnin.

Dalam Taklimat Khas Presiden UMNO pada Sabtu, ucapan-ucapan pemimpin UMNO antaranya Ahmad Zahid; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said turut menyentuh berkaitan kes Najib itu.

Tambah Ashraf, ucapan itu juga telah cuba menyemarakkan api kemarahan seramai 3,000 ahli UMNO untuk membenci institusi kehakiman negara.

“Zahid juga menfitnah mahkamah, kononnya sudah bersiap sedia untuk membebaskan Syed Saddiq dan Lim Guan Eng walaupun kesnya belum selesai dibicarakan.

“Sedangkan mahkamah kita bersifat bebas, terbukti sejak di bawah kerajaan Perikatan Nasional kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiada satu campur tangan pun di dalam sistem kehakiman,” tegasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here