Laporan siasatan isu kematian Muhammad Adib, Batu Puteh diketahui esok

0
225

LAPORAN penuh jawatankuasa khas melibatkan kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim akan diketahui esok.

Pada masa sama, laporan pasukan petugas khas yang menyiasat isu serta tindakan perundangan melibatkan Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh juga akan diterima esok.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar seperti dipetik BH Online.

Menurut Wan Junaidi, kesemua laporan itu akan dibentangkan kepada Kabinet untuk tindakan selanjutnya.

“Esok saya dua mesyuarat. Pasukan petugas khas akan serah laporan itu (laporan Allahyarham Muhammad Adib, Pulau Batu Puteh) dalam mesyuarat berkenaan.

“Semalam, saya sudah bermesyuarat berhubung buku Tan Sri Tommy Thomas (bekas Peguam Negara) dan laporan mengenainya sudah diterima,” katanya.

Pada 9 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes melibatkan Allahyarham Muhammad Adib.

Hari yang sama, Kabinet turut bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas siasatan terhadap dakwaan Tommy dan menyemak semula undang-undang berhubung permohonan semakan serta pentafsiran kes Pulau Batu Puteh.

Sebagai rekod, Muhammad Adib parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here