Buktikan Zainab isteri saya, Latiff cabar Rafizi

0
298

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr.Latiff Ahmad malam ini  menegaskan, beliau sedia disiasat berhubung dakwaan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa beliau terlibat dalam skandal LCS.

Dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Mesing itu juga meminta Rafizi mengemukakan bukti bahawa Zainab Mohd.Salleh adalah isteri kedua Latiff.

‘’Andaikata saudara Rafizi betul betul yakin bahawa Zainab Binti Mohd Salleh ialah isteri kedua saya, maka sila kemukakan bukti. Sebagai anggota Kabinet, saya bersedia untuk disiasat bagi membuktikan kebenaran apa yang saya katakan. Hentikanlah menabur fitnah,’’ katanya.

Berikut kenyataan penuh beliau;

Menjelang PRU-15 yang dijangkakan tidak lama lagi, saya dijadikan bahan serangan saudara Rafizi Ramli, Timbalan Presiden PKR. Permainan politik Rafizi amat mudah iaitu dia/PKR cuba menunjukkan pemimpin BERSATU juga korup dan tidak layak dipilih pada PRU-15.

Modal fitnah Rafizi adalah kononnya terdapat satu laporan forensik oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd (Alliance) kepada Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC). Rafizi juga membuat tohmahan bahawa saya mempunyai seorang isteri kedua bernama Zainab Binti Mohd Salleh yang mendapat kontrak pertahanan puluhan juta ringgit dengan Kementerian Pertahanan bagi Littoral Combat Ship (LCS) semasa saya menjadi Timbalan Menteri Pertahanan. Jadi apa jua perbuatan Zainab, dikaitkan sebagai perbuatan salahlaku saya.

Rafizi juga menyelindungkan fakta bahawa pendahuluan laporan forensik tersebut secara jelas memberikan amaran “Notice to the Reader” seperti berikut:

“In compiling this report, we have relied on oral and documentary representations made to us by people associated with the issues relating to our review. We were unable to assess the veracity of these representations.”

Rafizi telah menggunakan satu laporan forensik oleh Alliance sedangkan dokumen tersebut hanya merupakan satu deraf yang tidak ditandatangani dan yang tidak dapat disahkan kandungannya. Rafizi bukan sahaja tidak jujur, malah dengan sengaja membuat fitnah apabila menyembunyikan fakta bahawa terdapat laporan forensik sebenar yang ditandatangani oleh Alliance yang secara jelas tidak menyebutkan bahawa Zainab ialah isteri kedua saya.

Walaupun saya telah memberikan penjelasan, Rafizi masih berterusan dengan pembohongannya. Maka dengan ini, saya membuat penjelasan yang sebenar dan sejujurnya seperti berikut:

a) Saya tidak mempunyai sebarang isteri atau bekas isteri yang bernama Zainab Binti Mohd Salleh;

b) Apa jua perbuatan Zainab tidak mempunyai kaitan dengan saya;

c) Saya menjadi Timbalan Menteri Pertahanan dari 2009 sehingga 2013;

d) Tarikh kontrak LCS kepada BNS dibuat pada 17 Julai 2014;

 e) Saya tidak memainkan sebarang peranan dalam kontrak LCS tersebut;

f) Keluarga saya tidak mendapat sebarang kontrak pertahanan atau pembekalan dengan Kementerian Pertahanan semasa saya menjadi Timbalan Menteri Pertahanan.

6. Saya berharap saudara Rafizi bersikap lebih jujur dalam berpolitik. Pembohongannya bukan sahaja menipu masyarakat tetapi juga menggugat keyakinan rakyat kepada pemerintah sehingga boleh menjejaskan keselamatan negara bila mana penjelasan yang perlu dibuat mendedahkan rahsia aset pertahanan negara kepada pengetahuan umum.

Andaikata saudara Rafizi betul betul yakin bahawa Zainab Binti Mohd Salleh ialah isteri kedua saya, maka sila kemukakan bukti. Sebagai anggota kabinet, saya bersedia untuk disiasat bagi membuktikan kebenaran apa yang saya katakan. Hentikanlah menabur fitnah.

Sekian, terima kasih.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here