‘Tidak pernah termimpi’, Abang Viva terharu jasa dihargai

0
271

JASA dan bakti wira banjir, Azwan Omar atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Abang Viva’, dihargai dengan dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) sempena hari jadi Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang ke-73, pada Rabu.

Azwan menerusi satu hantaran di laman media sosial Facebook meluahkan rasa terharu dan syukur terhadap penghargaan yang diberi.

“Alhamdullilah.. benda yang tak pernah termimpi pun untuk dapat penghargaan setinggi ini.

“Saya tak layak untuk dapat macam ni..tiada apa yang saya buat untuk diangkat sampai macam ni,” katanya merendah diri.

Malah, wira banjir itu mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pejabat Yang Di Pertua Negeri Melaka dan Kerajaan Negeri Melaka di atas pemberian pingat berkenaan.

“Insyaallah saya akan pikul amanah yang diberi oleh semua orang sebaiknya..doakan saya,” tambahnya yang merupakan antara senarai 883 penerima darjah kebesaran Negeri Melaka.

Azwan turut menamatkan hantaran itu dengan dua tanda pagar iaitu #selamatharijadiTun dan #pingat P.J.K.

Mengangkut bot dari Melaka ke negeri-negeri yang terjejas banjir, nama Abang Viva menjadi perhatian masyarakat.

Azwan terdahulu tular di pelbagai platform media sosial selepas memandu kereta Perodua Viva membawa bot getah ke Selangor dari Melaka demi membantu mangsa banjir dengan berbekalkan RM50 pada Disember lepas.

Malah Azwan masih aktif melakukan kerja-kerja kebajikan terutamanya membantu penduduk di semenanjung yang terjejas akibat banjir. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here